Negeri Sembilan tarik darjah kebesaran bekas Naib Canselor UKM

SEREMBAN - Istana Negeri Sembilan menarik balik darjah kebesaran bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman berkuat kuasa serta-merta.
Pendaftar Darjah, Datuk Mohd Zafir Ibrahim berkata, ia membabitkan Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (D.B.N.S.) yang membawa gelaran Datuk, yang diterima Mohd Ekhwan pada 14 Januari 2019.
"Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah menitahkan bahawa pengurniaan D.B.N.S. kepada beliau ditarik balik berkuat kuasa serta-merta.
"Keputusan ini bertujuan menjaga kebesaran dan kehormatan Institusi Diraja di Negeri Sembilan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Pada 4 Februari lalu Sinar Harian melaporkan Mohd Ekhwan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Canselor UKM.
Beliau juga memberitahu telah membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berhubung dakwaan fitnah serta tohmahan yang dilontarkan kepadanya.
Ia dipercayai selepas terdapat pihak mendakwa hasil audit universiti tersebut menunjukkan berlaku salah guna kuasa dan penyelewengan serta tidak mematuhi proses perolehan yang mengaitkan namanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!