Negeri Sembilan sedia 26,548 rumah mampu milik sejak 2018

SEREMBAN- Kerajaan Negeri Sembilan telah menyediakan 26,548 unit rumah mampu milik di seluruh negeri ini sehingga kini dengan kelulusan pembinaannya di kawasan tumpuan penduduk dan tinggi permintaan seperti di Bandar Seremban.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 8,788 rumah mampu milik Type A yang berharga RM80,000 telah lulus Kebenaran Merancang sejak Jun 2018 hingga Disember tahun lalu.
"Ia termasuk projek-projek perumahan yang berada dalam fasa pembinaan dan juga telah siap dibina.
"Di samping itu, 9,231 unit rumah mampu milik Type B dan 8,529 unit Type C telah diluluskan Kebenaran Merancang sejak tahun 2018," katanya pada Majlis Pengundian Rumah Mampu Milik Type A Taman Arowana, Lenggeng, di sini pada Jumaat.
Ujarnya, komitmen kerajaan negeri menyediakan rumah berkenaan adalah selaras dengan objektif semasa Dasar Perumahan Negara yang menggalakkan kepelbagaian akses isi rumah kepada perumahan menerusi pemilikan dan sewaan.
"Bagi menzahirkan komitmen kepada rakyat yang berkeperluan, terutamanya golongan B40, kerajaan negeri telah menetapkan syarat pembinaan rumah mampu milik Type A dalam setiap projek pembangunan perumahan di Negeri Sembilan melalui pelaksanaan Dasar Perumahan Negeri Sembilan," jelasnya.
Tambah Aminuddin, mulai 1 Februari 2024, kerajaan negeri bersetuju untuk membuat penambahbaikan ke atas Dasar Perumahan Negeri Sembilan sedia ada.
"Ia bagi memastikan pembeli rumah dan pemaju bersama-sama menerima manfaat ke atas pembinaan rumah mampu milik Type A di seluruh Negeri Sembilan serta seiring dengan keperluan harga pasaran semasa harga rumah.
"Daripada 50 peratus komponen rumah mampu milik tersebut, sebanyak 20 peratus adalah bagi Rumah Mampu Milik Type A yang berharga maksimum RM80,000 telah dinaikkan kepada RM110,000.
"Kelayakan pendapatan kasar bagi rumah Type A bagi seisi rumah telah dinaikkan daripada RM3,500 kepada RM4,500, manakala 15 peratus lagi adalah Type B berharga tidak melebihi RM250,000," katanya.
Ujarnya, baki 15 peratus adalah Type C(i) yang berharga tidak melebihi RM400,000 dan Type C(ii) yang berharga tidak melebihi RM450,000.
"Melalui pelaksanaan dasar ini, sebanyak 74 unit rumah mampu milik Type A berharga RM110,000 tersedia untuk pemohon yang berjaya dalam sesi undian pada pagi ini," katanya yang memaklumkan rumah mampu milik Type A Taman Arowana, Lenggeng dijangka siap sepenuhnya dan diduduki pada Mei ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!