Pas Selangor harap harga lantai padi baharu tidak kecewakan pesawah

SHAH ALAM - Pas Selangor berharap pengumuman yang bakal dibuat kerajaan mengenai harga lantai padi baharu tidak akan mengecewakan pesawah.
Ketua Penerangannya, Zurk Ahmad berkata, ia berikutan kerajaan telah banyak kali berjanji akan menyelesaikan isu padi dan beras yang merugikan pesawah.
Menurutnya, pada 2024, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh pernah memaklumkan bahawa laporan kajian mengenai kartel padi dan beras sudah siap dan akan didedahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pula, laporan ini akan diumumkan pada awal tahun. Beliau pada 2023 juga pernah berjanji akan menyelesaikan isu beras putih tempatan (BPT) dalam masa sebulan sahaja dengan langkah intervensi daripada kerajaan.
"Malangnya sehingga hari ini, laporan kartel tidak pernah disebut sama sekali oleh kerajaan dan bekalan BPT juga masih hilang dalam pasaran.
"Tidak dilupakan jaminan tiga bulan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang ingin menyelesaikan isu padi dan beras dalam negara tanpa gangguan daripada kementerian atau Kawalselia Padi dan Beras," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Sebelum ini, Anwar di Dewan Rakyat pada 4 Februari lalu memaklumkan, kerajaan dijangka mengumumkan kenaikan harga lantai belian padi serta subsidi tambahan bagi mengimbangi kesan kepada pengguna terutama melibatkan harga beras.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Mohamad akan membentangkan kertas menteri bagi menjelaskan dan mengumumkan kenaikan harga lantai berkenaan.
Mengulas lanjut, Zurk berkata, kerajaan perlu menyelesaikan isu berkenaan dan membela nasib pesawah yang sedang menanggung kerugian.
"Harapan besar buat kerajaan agar tidak membuat pengumuman yang mengecewakan pesawah kerana sudah berkali-kali pihak kerajaan berjanji akan menyelesaikan isu padi dan beras yang merugikan pesawah.
"Rakyat ingin melihat keseriusan kerajaan dalam menyelesaikan isu ini dan membela kebajikan para pesawah yang sedang menanggung kerugian.
"Jangan terus menabur janji kosong namun realitinya masih menghampakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!