‘RM1,800 tak mampu bagi petani kaya’ - Ashraf Mustaqim

SHAH ALAM - Tuntutan harga lantai padi iaitu RM1,800 per tan metrik tidak memadai bagi golongan petani untuk menampung kos pusingan modal dan menjamin kelangsungan hidup.
Koordinator Gerakan Membela Penindasan Petani (Gempita), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, kebanyakan petani dan anak muda berpendapat RM2,000 merupakan jumlah lebih wajar kerana ia melibatkan satu ekosistem dan proses kitaran yang saling berkait.
“Terdapat banyak aspek yang perlu diambil kira dalam pusingan modal termasuk kesan kenaikan harga barang dan usaha untuk memperoleh kehidupan yang lebih baik. Harga RM1,800 yang dituntut ini hanyalah harga lantai.
“Namun, perkara ini perlu dinilai semula kerana kesan terhadap harga belian padi akan melibatkan operator dan kilang. Oleh itu, ia perlu diselaraskan dengan lebih baik supaya semua pihak dapat mencapai penyelesaian menyeluruh,” katanya menerusi program Wacana Sinar bertajuk 'Harga lantai padi dan nasib pesawah' pada Selasa.

Program dihoskan oleh Haizir Othman dan turut dibarisi dua panelis lain iaitu Pengerusi Biro Tani Amanah Nasional, Mohamad Zamir Ghazali dan Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob.
Terdahulu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, segala isu berkaitan padi dan beras akan diperjelaskan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di Parlimen pada 13 Februari depan.
Kata beliau, perkara itu akan disampaikan menteri berkenaan melalui satu Kenyataan Menteri dalam persidangan Dewan Rakyat disusuli perbahasan oleh ahli-ahli Parlimen.
Sebelum ini, kerajaan dijangka mengumumkan kenaikan harga lantai belian padi berserta subsidi tambahan bagi mengimbangi kesan kepada pengguna terutamanya melibatkan harga beras.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan harga lantai itu menyebabkan kenaikan harga beras bagi pengguna dan kerajaan akan menampung subsidi supaya harga pasaran beras tempatan tidak dinaikkan.
Ia bermakna kerajaan juga bakal menampung lagi subsidi sekitar RM150 juta untuk enam bulan yang akan dimuktamadkan dalam masa singkat.
Pada 2023, kerajaan menaikkan harga lantai belian padi kepada RM1,300 daripada RM1,200 per tan metrik sejak 2014.
Bagaimanapun, PeSAWAH baru-baru ini meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan pertubuhan itu untuk menaikkan harga lantai padi daripada RM1,300 kepada RM1,800 per tan metrik.
Mohd Ashraf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh berkata, kerajaan perlu mengubah peranan dan melaksanakan liberalisasi petani agar mereka dapat menyimpan dan menghasilkan benih yang berkualiti.
“Petani perlu diberikan kebebasan dan kawalan penuh terhadap proses pertanian mereka tanpa sekatan undang-undang yang menghalang penjualan benih. Sebagai contoh, 20 peratus benih padi kini disimpan sendiri oleh kebanyakan pesawah untuk menghasilkan benih berkualiti.
“Dengan membebaskan petani menguruskan hasil pertanian mereka sendiri, kerajaan bakal dijulang menjadi juara (menyelesaikan masalah) industri ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!