Bukan urusan pesawah tuntut Bernas laksana 10 obligasi sosial

SHAH ALAM - Bukan urusan pesawah untuk menuntut Padiberas Nasional Berhad (Bernas) melaksanakan 10 obligasi sosial sebaliknya perkara itu adalah tugas kerajaan, kata Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob.
Tambah beliau, sepatutnya kerajaan yang perlu monitor setiap 10 tahun sama ada obligasi sosial ditunaikan oleh konsesi berkenaan atau tidak.
Menurutnya, posisi konsesi berkenaan boleh ditarik balik sekiranya mereka tidak mematuhi obligasi yang ditetapkan.
"Perkara kelapan tabung bencana padi, tabung itu sepatutnya didanakan. Setiap kali melibatkan beras import keuntungan masuk di situ jadi kenapa sekarang bila berlaku banjir dan sebagainya kami perlu mengemis.
"Ambil masa dalam setahun lebih untuk diberikan kepada petani sedangkan tabung itu boleh didanakan dengan levi dari beras import. Di sinilah peranan kerajaan untuk monitor perkara tersebut bukan serahkan kepada pesawah.
"Selain itu, kami telah suarakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai tuntutan harga lantai dan Rang Undang-Undang Kualiti Benih Tanaman. Apa yang kami tuntut ini rasional, ia bukan untuk melihat keselesaan pesawah tapi mengimbangi kos yang perlu kami tanggung," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar siri 473 bertajuk 'Harga lantai padi dan nasib pesawah' yang dihoskan oleh Haizir Othman pada Selasa.
Turut menjadi panelis, Pengerusi Biro Tani Amanah Nasional, Mohamad Zamir Ghazali dan Koordinator Gerakan Membela Penindasan Petani (Gempita), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir.
Tambah Abdul Rashid, pihaknya berharap reformasi dan penstrukturan yang dilakukan pihak kerajaan dapat menoktahkan masalah pesawah yang berlaku setiap tahun.
"Takkan kami perlu demonstrasi, jumpa kerajaan selalu. Kami pun mahu tumpukan pada aktiviti sawah.
"Dalam masa sama, saya harap semua pihak sama ada pesawah, agensi mahupun kerajaan dapat menjalankan kerjasama dengan baik pada masa akan datang," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!