247 IPIS di Johor tidak berdaftar dengan JAINJ

Mohd Fared
Mohd Fared
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 247 Institusi Pendidikan Islam Swasta (IPIS) yang beroperasi di Johor dikesan tidak berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, ia merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan walaupun hanya untuk peringkat pendidikan awal kanak-kanak.

"Pihak kerajaan menyeru semua IPIS ini untuk mendaftar sebagaimana kehendak Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (EPSAI) 1991. Pendaftaran boleh dilakukan di mana-mana Pejabat Pendidikan Islam Daerah (PPID).

"Menjadi tanggungjawab mana-mana individu atau organisasi bukan kerajaan untuk mematuhi peraturan ini demi menjaga kesucian agama Islam," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Fared memaklumkan, tujuan pendaftaran itu adalah untuk mengawal dan memastikan institusi tersebut diurus tadbir dengan baik bagi menjaga kebajikan pelajar.

Ujarnya, inisiatif tersebut adalah untuk memastikan pelajar menerima ilmu aqidah yang berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asya’irah dan al-Maturidiah, syariah fiqh mazhab As-Syafie di samping meraikan mazhab al-Hanafi, al-Maliki serta al-Hanbali dan tasawwuf Imam Junaid alBaghdadi dan Imam al-Ghazali.

"Selain itu, ia juga bertujuan untuk menjaga kebajikan kakitangan yang berkhidmat di IPIS terlibat dan menyediakan guru yang bertauliah.

"Kerajaan negeri Johor dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) amat menitikberatkan perkembangan syiar Islam khususnya dalam bidang pendidikan Islam melangkaui 100 tahun pelaksanaannya," tambah beliau.

Menurutnya, pelbagai usaha menambah baik sistem pendidikan Islam sedang dilakukan antaranya pemerkasaan enakmen dan undang-undang; kebajikan dan latihan pengajar serta naik taraf prasarana termasuk pendigitalan pendidikan terus dipertingkatkan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, inisiatif tersebut adalah untuk memastikan pendidikan Islam di Johor terus dipelihara dan diperkasa secara terancang bagi menjaga kesucian agama Islam.

"Pihak kerajaan juga menyedari dan menghargai peranan yang dimainkan oleh mana-mana individu atau organisasi bukan kerajaan dalam menyumbang perkembangan pendidikan Islam.

"Bagaimanapun, institusi yang ditubuhkan wajib didaftarkan sebagaimana kehendak Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (EPSAI) 1991," jelasnya.

Tambah beliau, Sehingga kini sebanyak 229 buah IPIS yang telah berdaftar dengan MAINJ merangkumi 40 Sekolah Rendah Islam Swasta (SRIS), 10 Sekolah Menengah Islam Swasta (SMIS), 149 Maahad Tahfiz Swasta (MTS), 22 Madrasah Pondok Swasta (MPS) dan lapan Madrasah Malabar Johor (MMJ).

Bagaimanapun katanya, terdapat 25 IPIS yang sedang melengkapkan proses pendaftaran dan 247 lagi diketahui sedang beroperasi tetapi belum memulakan proses pendaftaran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!