Bawa senjata api di tempat awam, dah macam negara koboi!

SEJAK kebelakangan ini, negara kita digemparkan dengan beberapa insiden tembakan. Ia mengingatkan kita kepada negara Barat yang begitu mudah nyawa melayang di hujung laras senjata api.
Terbaharu kejadian pada Sabtu lalu apabila seorang lelaki melepaskan lapan das tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam yang menyebabkan seorang pekerja pembersihan tercedera.
Sebelum itu, juga di Klang, seorang lelaki berusia 45 tahun cedera di punggung kiri selepas ditembak oleh individu berhampiran sebuah restoran di Lebuh Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi.
Dua kejadian ini membuatkan Merak Jalanan terfikir. Bagaimana senjata api begitu mudah berada di tangan individu-individu ini? Sedangkan pemilikan senjata api di Malaysia dikawal ketat di bawah Akta Senjata 1960. Mereka yang boleh memiliki senjata api hanya diberikan lesen selepas tapisan ketat oleh pihak berkuasa.
Dua insiden tersebut menunjukkan seolah-olah ada kelompangan dalam penguatkuasaan, atau mungkin wujud pasaran gelap membolehkan senjata api dibeli dengan mudah.
Merak Jalanan bagaimanapun percaya prosedur operasi standard (SOP) pihak berkuasa dalam pemilikan senjata api cukup ketat. Namun mungkin perlu diperketatkan lagi kerana penjenayah kini nampaknya semakin berani.
Dalam pada itu, Merak Jalanan juga merasakan bahawa faktor kesihatan mental rakyat Malaysia perlu diberi perhatian.
Misalnya kes Setia Alam itu, suspek dikatakan bertindak agresif hanya disebabkan menerima teguran kecil. Di samping penguatkuasaan undang-undang perlu diperkukuhkan, kesedaran mengenai kesihatan mental juga harus dipertingkatkan.
Merak Jalanan risau kalau perkara-perkara ini tidak diambil peduli sewajarnya, kita seolah-olah berada di negara koboi apabila sesiapa sahaja begitu mudah tanpa rasa takut membawa senjata api di khalayak ramai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

