'Saya minta dia simpan pistol supaya anak-anak tidak takut' - Pemandu Ativa

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] 'Saya terkejut tiba-tiba suspek berdiri sebelah saya dan acu pistol'. Itu detik cemas dihadapi seorang lelaki dan keluarganya selepas dihampiri suspek kes tembak di parkir pusat beli-belah di Setia Alam di sini pada Sabtu lalu.
Menurut lelaki enggan dikenali berusia lingkungan 30-an, sebelum kejadian, dia bersama isteri dan empat anak sedang makan di sebuah restoran di pusat beli-belah terbabit sebelum keadaan tiba-tiba bertukar kecoh.
"Pengawal keselamatan mengarahkan kami semua segera keluar. Waktu itu tidak tahu kejadian sebenar berlaku.

"Saya segera bawa ahli keluarga keluar dan ketika ke tempat parkir terdengar bunyi letupan, awalnya saya ingat bunyi bonggol dilanggar kereta.
"Saya anggap itu bunyi biasa sahaja dan tak sangka rupanya bunyi letupan tembakan pistol," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, pada masa itu kelihatan banyak kereta bergerak laju.
Tambahnya, ketika mereka sekeluarga hendak masuk ke dalam kereta, secara tiba-tiba seorang lelaki berada di sebelahnya dan mengacukan pistol.
"Saya tercengang, suspek lepaskan tembakan ke arah dinding nak tunjuk itu pistol betul.

"Kami semua diarah masuk ke dalam kereta dan suspek duduk betul-betul di tempat duduk belakang saya (pemandu). Saya minta dia simpan pistol supaya anak-anak tidak takut," ujarnya.
Menurut lelaki itu lagi, suspek mengarahnya melalui laluan tertentu sebelum turun di tepi lebuh raya.
"Dia (suspek) ada dalam kereta kira-kira 45 minit dan sebelum menghilangkan diri, suspek mengambil kad memori pada 'dashcam' kereta," katanya.
Sinar Harian sebelum itu melaporkan kenyataan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan bahawa Balai Polis Seksyen 6 menerima maklumat kejadian pada jam 10.50 malam.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia lingkungan 30-an yang bekerja sebagai tukang cuci di pusat beli-belah terbabit cedera akibat terkena tembakan dilepaskan suspek.
Berikutan itu, polis telah mengenal pasti suspek iaitu lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an, berkulit cerah selain memiliki 11 rekod lampau bersabit kes jenayah serta dadah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!