ASEAN bersatu sokong gencatan senjata, Malaysia ikrar bantu bina semula Gaza - PM

PUTRAJAYA - ASEAN mengambil pendirian tetap menyokong gencatan senjata yang berkekalan di Semenanjung Gaza, dengan Malaysia berikrar memberikan sokongan penuh terhadap usaha pembinaan semula wilayah itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, komited untuk memastikan sokongan yang mencukupi diberikan untuk usaha pembangunan semula di Gaza.
"Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, bulan lepas telah mengadakan perbincangan dengan semua menteri luar ASEAN dan mereka telah mengulangi pendirian tersebut.
"Saya akan meneruskan perbincangan dengan semua pemimpin, bagi memastikan sokongan mencukupi diberikan terhadap inisiatif Jepun, yang dipengerusikan bersama Malaysia, untuk usaha pembangunan semula Gaza dengan segera,” katanya pada sidang media bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di sini pada Selasa.
Erdogan tiba di Malaysia pada Isnin untuk lawatan rasmi dua hari.
Anwar turut menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi Malaysia dalam menyokong usaha kemanusiaan di Gaza dan Palestin.
"Apa yang lebih mendesak tentunya usaha pembangunan semula Gaza, Palestin. Turkiye telah menunjukkan kepimpinannya, seperti yang diketahui mereka telah menghantar sekurang-kurangnya 100 kapal membawa peralatan dan sokongan untuk bantuan kemanusiaan. Sepengetahuan saya, ini sesuatu yang menakjubkan dan tidak dapat ditandingi mana-mana negara lain,” katanya.
Perdana Menteri turut mengesahkan komitmen Malaysa untuk terus memainkan peranannya, menggunakan pelbagai kemudahan di Turkiye, selain di Qatar dan Mesir bagi menyokong bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.
Selain itu, beliau turut mengumumkan sokongan Malaysia terhadap inisiatif Jepun menubuhkan dana khusus untuk pembinaan semula Gaza.
Bulan lepas, Anwar berkata, Malaysia akan membina sebuah sekolah, hospital dan masjid sebagai permulaan kepada usaha bersepadu negara dalam membantu pembinaan semula Gaza, yang telah dibom dengan teruk oleh tentera Israel sejak Oktober tahun lepas.
AKAN MENYUSUL
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
