Kos termahal bina semula Gaza

Bangunan musnah di barat Beith Lahia di utara Genting Gaza. Foto AFP
Bangunan musnah di barat Beith Lahia di utara Genting Gaza. Foto AFP
A
A
A

NEW YORK - Lebih AS$53 bilion (RM236.39 bilion) diperlukan untuk membina semula Gaza dan menamatkan 'malapetaka kemanusiaan' yang telah mencengkam wilayah yang dilanda perang itu.

Ia termasuk AS$20 bilion (RM89.20 bilion) dalam tiga tahun pertama sahaja, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa.

Badan global itu dalam satu laporan berkata, rangka kerja politik dan keselamatan juga mesti disediakan supaya pemulihan dan pembinaan semula dapat dimulakan dan asas boleh diletakkan untuk proses politik bagi menamatkan pendudukan Israel dengan cepat dan mewujudkan penyelesaian dua negara yang berdaya maju.

Sebahagian besar Gaza termasuk sekolah, hospital dan infrastruktur awam lain telah hacur lebur akibat serangan tentera Israel berikutan serangan Hamas yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada 7 Oktober 2023.

Penduduk Gaza membawa barangan peribadi dilihat berjalan menuju ke rumah masing-masing di Genting Gaza selepas gencatan senjata dipersetujui antara Hamas-Israel. Foto AFP
Penduduk Gaza membawa barangan peribadi dilihat berjalan menuju ke rumah masing-masing di Genting Gaza selepas gencatan senjata dipersetujui antara Hamas-Israel. Foto AFP

"Penilaian sementara itu menawarkan petunjuk awal skala besar keperluan pemulihan dan pembinaan semula di Genting Gaza," kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dalam dokumen itu, sambil memberi amaran bahawa ia bukan penilaian penuh.

"Laporan itu menganggarkan keperluan pemulihan dan pembinaan semula dalam jangka pendek, sederhana dan panjang di seluruh Genting Gaza pada AS$53.142 bilion (RM237.01 bilion).

Artikel Berkaitan:

"Daripada jumlah itu, keperluan jangka pendek dalam tiga tahun pertama dianggarkan sekitar AS$20.568 bilion (RM91.81 bilion)," tambahnya.

Dalam resolusi yang diterima pakai pada bulan Disember menggesa gencatan senjata segera dan tanpa syarat di Gaza, Perhimpunan Agung PBB telah meminta Guterres untuk menyediakan penilaian mengenai keperluan wilayah itu dalam tempoh dua bulan.

Laporan itu menilai bahawa dengan lebih 60 peratus rumah musnah dalam perang melebihi setahun antara Israel dan pejuang Palestin Hamas, sektor perumahan memerlukan sekitar AS$15.2 bilion (RM67.82 bilion).

Menurut laporan itu lagi, sektor perdagangan dan industri akan memerlukan anggaran AS$6.9 bilion (RM30.78 bilion), begitu juga sektor kesihatan.

Untuk memulihkan industri pertanian akan memerlukan kira-kira AS$4.2 bilion (RM18.74 bilion), pengangkutan memerlukan AS$2.9 bilion (RM12.94 bilion), air dan sanitasi dianggarkan AS$2.7 bilion (RM12.04 bilion) dan pendidikan AS$2.6 bilion (RM11.60 bilion).

Laporan itu juga menyatakan kos yang sangat tinggi sebanyak AS$1.9 bilion (RM8.47 bilion) yang dijangkakan untuk sektor alam sekitar 'akibat serpihan besar yang dicampur dengan senjata yang tidak meletup dan kos tinggi yang berkaitan dengan penyingkiran serpihan'.

Kenderaan bantuan PBB melintasi pusat pemeriksaan dikelolakan Mesir dan Amerika Syarikat di jalan Salah al-Din di al-Mughraqa, Genting Gaza. Foto AFP
Kenderaan bantuan PBB melintasi pusat pemeriksaan dikelolakan Mesir dan Amerika Syarikat di jalan Salah al-Din di al-Mughraqa, Genting Gaza. Foto AFP

PBB menganggarkan bahawa perang telah menghasilkan lebih daripada 50 juta tan serpihan, termasuk mayat manusia, senjata yang tidak meletup, asbestos dan bahan berbahaya yang lain.

"Secara kritis, Pihak Berkuasa Palestin mesti menjadi pusat perancangan dan pelaksanaan pemulihan dan pembinaan semula di Gaza," kata Guterres dalam laporan yang bertarikh 30 Januari.

Laporan itu diterbitkan beberapa hari sebelum Presiden AS, Donald Trump berkata, beliau mahu 'mengambil alih' Gaza dengan membangunkan semula wilayah itu dan mengusir lebih dua juta rakyat Palestin yang tinggal di sana.

Rancangannya telah menimbulkan tindak balas global dan telah ditolak oleh rakyat Palestin, Jordan, Mesir dan masyarakat dunia. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!