Cadangan AS batal gencatan senjata dorong keganasan lebih dahsyat

Kerajaan AS diketuai Presiden Donald Trump meluluskan penjualan senjata lebih RM32 bilion, bantu Israel serang Gaza.
Kerajaan AS diketuai Presiden Donald Trump meluluskan penjualan senjata lebih RM32 bilion, bantu Israel serang Gaza.
A
A
A

CADANGAN Amerika Syarikat (AS) untuk membatalkan gencatan senjata bukan sahaja akan meningkatkan ketegangan antara Israel dan Hamas malah akan memberi kesan buruk terhadap kestabilan rantau Asia Barat secara keseluruhan.

Sekiranya tindakan itu dilaksanakan, ketegangan antara kedua-dua pihak akan meningkat sekali gus mendorong kepada keganasan yang lebih dahsyat sedangkan tujuan asal gencatan senjata adalah untuk memberi ruang kepada rundingan damai.

Pembatalannya pula akan membuka peluang kepada pembunuhan beramai-ramai dan serangan balas yang boleh meningkatkan jumlah korban terutama dalam kalangan penduduk awam di Gaza.

Mohd Yazid
Mohd Yazid

Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Mohd Yazid Zul Kepli berpandangan, keputusan AS untuk campur tangan dalam konflik ini akan melemahkan kepercayaan terhadap usaha diplomatik antarabangsa.

Rundingan yang dijalankan oleh pihak ketiga seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mesir, dan Qatar boleh terjejas sekiranya Washington bertindak secara unilateral.

Negara-negara Arab dan dunia Islam pula mungkin melihat tindakan ini sebagai bukti bahawa AS tidak berkecuali langsung dalam konflik tersebut sebaliknya memihak kepada Israel.

Akibatnya, usaha rundingan masa depan akan menjadi lebih sukar kerana kepercayaan terhadap peranan AS sebagai perantara semakin pudar.

Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump memberi amaran bahawa keadaan akan menjadi buruk jika semua tebusan tidak dibebaskan dari Gaza menjelang Sabtu depan.

Artikel Berkaitan:

Trump turut menekankan bahawa beliau akan menggesa agar gencatan senjata Israel-Hamas itu dibatalkan.

Campur tangan terbaru Trump dalam isu Asia Barat dibuat selepas Hamas mengancam untuk menangguhkan sebarang pertukaran tebusan tahanan, sekali gus menggugat gencatan senjata enam minggu yang berkuat kuasa 19 Januari lalu.

Tambah Mohd Yazid, jika gencatan senjata dibatalkan dan konflik kembali meletus, negara-negara Asia Barat yang sebelum itu berperanan sebagai perantara boleh mengambil langkah lebih tegas seperti mengenakan sekatan diplomatik terhadap AS dan Israel.

Sekiranya konflik berterusan, kumpulan bersenjata lain seperti Hizbullah di Lubnan atau militan di Syria mungkin akan campur tangan dan ia boleh mengancam kestabilan keseluruhan Asia Barat.

Mohd Yazid berkata, tindakan Trump untuk memaksa pembebasan tebusan dengan ancaman membatalkan gencatan senjata turut menimbulkan persoalan mengenai kesahihannya dalam kerangka undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Ia kerana Konvensyen Geneva 1949 dan Protokol Tambahan jelas menegaskan perlindungan terhadap orang awam dan tebusan dalam konflik bersenjata.

Selain itu, campur tangan AS boleh dilihat bertentangan dengan Artikel 1 dan 2 Piagam PBB yang menekankan kepentingan penyelesaian konflik melalui rundingan dan diplomasi serta menyeru kepada penyelesaian secara aman.

Justeru, sebarang keputusan mengenai konflik antarabangsa itu seharusnya mengambil kira bukan sahaja kepentingan politik jangka pendek malah implikasi panjang terhadap keamanan global dan hak asasi manusia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!