Doktor wanita rugi RM433,700 terpedaya pelaburan bitcoin

KUANTAN - Seorang doktor wanita kerugian RM433,700 akibat terpedaya dengan tawaran pelaburan yang tidak wujud di laman sosial.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa berusia 44 tahun melihat iklan pakej pelaburan berkaitan bitcoin di Telegram.
Menurutnya, mangsa kemudiannya berminat dengan tawaran itu dan menekan pautan disediakan dalam grup terbabit.
"Kemudian pautan ini menyambungkan mangsa kepada WhatsApp pentadbir grup media sosial berkenaan.
"Terdapat beberapa pakej pelaburan ditawarkan bermula RM500 sehingga RM5,000 dan mangsa memilih pakej asas dengan modal RM500 dan mendapat keuntungan RM15,000 dalam masa tiga jam," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Ujarnya, sepanjang tempoh pelaburan itu, mangsa membuat 22 transaksi ke 16 akaun berlainan secara berperingkat berjumlah RM433,700.
Jelasnya, mangsa tidak mendapat apa-apa pulangan dan berasa tertipu lalu membuat laporan polis.
Dalam pada itu, Yahaya berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil(JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang juga menerima laporan daripada seorang ahli perniagaan wanita berusia 61 tahun yang menjadi mangsa penipuan dalam talian membabitkan kerugian RM131,500.
Jelas Yahaya, mangsa menerima satu panggilan yang memperkenalkan dirinya sebagai kakitangan Tenaga Nasional Bhd (TNB) memaklumkan ahli perniagaan itu terbabit kes kecurian elektrik dan menemui kad bank di dalam rumah.
"Kakitangan menyamar mendakwa mangsa terbabit dengan kegiatan wang haram dan menyambungkan panggilan tersebut ke IPK Kuantan.
"Mangsa bercakap dengan 'pegawai polis' berpangkat Inspektor dan diminta membuat laporan polis," jelasnya.
Tambahnya, suspek juga meminta mangsa membuat pindahan wang ke akaun diberikan Inspektor berkenaan.
Katanya, mangsa melakukan 26 pemindahan wang berjumlah RM131,500 yang merupakan wang simpanan peribadi dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya.
"Suspek turut menghantar waran tangkap dan laporan juruaudit Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai wang yang diambil.
"Pada 21 Januari lalu, mangsa dihubungi individu tidak dikenali dan meminta memasukkan wang tetapi mangsa berasa ditipu," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

