Pengarah syarikat rugi RM2.1 juta terpedaya skim pelaburan tidak wujud

Datuk Hussein Omar Khan
Datuk Hussein Omar Khan
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pengarah syarikat swasta mengalami kerugian RM2.1 juta akibat terperdaya skim pelaburan tidak wujud yang diiklankan menerusi Facebook.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor telah menerima satu laporan polis di daerah Kajang berkaitan kes tersebut.

"Seorang lelaki berusia 77 tahun mendakwa mengalami kerugian RM2,118,810 akibat diperdaya pelaburan tidak wujud," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Hussein berkata, hasil siasatan awal mendapati pada Ogos tahun lalu, mangsa telah melihat iklan di Facebook berkenaan satu pelaburan mata wang kripto yang dianjurkan oleh sebuah syarikat.

"Mangsa tertarik dengan tawaran telah menghubungi suspek melalui WhatsApp untuk menyertai pelaburan berkenaan seterusnya mendaftar di laman web.

"Mangsa membuat 26 transaksi ke dalam 11 akaun berbeza berjumlah RM2.1 juta kerana dijanjikan keuntungan yang lumayan.

"Selepas pindahan wang dilakukan, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan yang djanjikan dan suspek telah meminta lelaki itu untuk membayar cukai berjumlah RM1.2 juta bagi mengeluarkan keuntungan daripada platform tersebut," ujarnya.

Menurutnya, mangsa berasa tertipu dan tampil membuat laporan polis.

"Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hussein berkata, orang ramai diingatkan agar sentiasa berwaspada terhadap mana-mana tawaran berkaitan pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah.

"Sebarang panggilan atau tawaran mencurigakan boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk semakan, nasihat atau aduan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!