Pesara rugi RM2.2 juta angkara penipuan pelaburan kripto

SHAH ALAM - Seorang pesara mengalami kerugian lebih RM2.2 juta selepas membuat 18 kali pemindahan wang melibatkan urusan pelaburan kripto tidak wujud, Oktober lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kes penipuan berkenaan di daerah Subang Jaya.
Beliau berkata, mangsa terlibat merupakan seorang lelaki berumur 70 tahun dan berkhidmat dalam sektor swasta sebelum ini.
"Siasatan mendapati mangsa telah berkenalan dengan seorang individu sekitar Oktober 2024 menerusi aplikasi Facebook yang menawarkan satu pelaburan kripto.
"Mangsa dimasukkan dalam satu kumpulan WhatsApp yang mana dia dijanjikan keuntungan yang besar sekiranya menyertai pelaburan terbabit," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, mangsa yang terpengaruh dengan janji manis yang ditawarkan itu telah membuat 18 kali transaksi ke dalam pelbagai akaun bank berlainan dengan jumlah keseluruhan RM2,210,136.
"Bagaimanapun, mangsa mangsa tidak menerima keuntungan yang dijanjikan selepas pembayaran dilakukan," katanya.
Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada terhadap mana-mana pelaburan mencurigakan dan tidak munasabah.
"Orang ramai yang mengesyaki sebarang panggilan mencurigakan diminta menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk semakan, nasihat dan aduan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!