MBS tidak akan beri muka kepada peniaga, penganjur jual tapak kepada pihak ketiga

SEREMBAN - Majlis Bandaraya Seremban (MBS) tidak akan 'beri muka' terhadap peniaga bazar Ramadan yang didapati menjual petak kepada pihak ketiga terutama kepada warga asing.
Datuk Bandar Seremban, Datuk Masri Razali berkata, selain lesen peniaga ditarik, penganjur bazar Ramadan di tapak itu juga berdepan tindakan senarai hitam jika dibuktikan melanggar syarat.
"Jika ada kesan pelanggaran syarat bukan hanya pemilik lesen, tindakan akan dikenakan kepada penganjur.
"MBS akan ambil tindakan tegas terhadap peniaga 'ali baba' lesen apatah lagi kepada yang menyewakan tapak bazar kepada pihak ketiga terutama warga asing," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada tindakan lesen ditarik di bawah kesalahan itu.
"Lawatan di tapak bazar dilakukan secara berkala, tiada peniaga dikesan melakukan kesalahan tersebut.
" Ada beberapa aduan diterima, namun pemeriksaan mendapati individu berniaga di tapak adalah pemegang lesen sah, maka tiada tindakan dikenakan," katanya.
Jelas beliau, sebagai langkah kawalan, pemantauan dilakukan secara berkala tanpa notis selain tidak bergantung kepada aduan semata-mata.
Selain itu katanya, penganjur turut diberikan peringatan dan amaran dari semasa ke semasa iaitu perlu memastikan peniaga beroperasi merupakan pemegang lesen berniaga.
Difahamkan, sebanyak 42 tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri akan beroperasi di Seremban tahun ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan membatalkan lesen perniagaan bazar Ramadan yang dijual kepada pihak ketiga.
Tegas Anwar, penglibatan ejen selaku orang tengah yang 'memakan' komisen besar sudah berlarutan saban tahun.
Jelas Anwar, situasi itu bukan hanya berlaku di ibu negara sahaja, malah hampir di semua kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!