Kelantan dicadang urus tapak bazar Ramadan, jimat kos

KOTA BHARU - Pertubuhan Pemikir Azam Kelantan (Azam Kelantan) mencadangkan kerajaan negeri ini mengurus sendiri sewa tapak bazar Ramadan di Stadium Sultan Muhammad IV di sini.
Koordinator Azam Kelantan, Nizam Muhamad berkata, pengurusan sendiri melalui agensi dan anak syarikat di bawah kerajaan ini sendiri akan mampu kurangkan kos serta menawarkan harga sewaan lebih murah kepada rakyat.
“Kerajaan negeri mempunyai pelbagai agensi seperti Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan atau Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang sepatutnya boleh menguruskan Bazar Ramadan Stadium Kota Bharu dan memberi pulangan terus kepada negeri.
“Sekiranya kerajaan negeri menguruskan sendiri akan dapat mengurangkan kos dan menawarkan harga sewaan tapak yang munasabah serta sesuai sebagai ruang untuk peniaga tempatan mencari rezeki sepanjang bulan Ramadan,” katanya kepada Sinar Harian.
Kata Nizam, merujuk kenyataan Exco Jawatankuasa Belia, Sukan NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad 9 Februari lalu, beliau berpandangan Perbadanan Stadium Kelantan dilihat menguruskan Bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad IV tahun ini dalam keadaan terburu-buru.
“Pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan Kelantan (FAMA Kelantan) mengumumkan tidak akan menguruskan Bazar Ramadan kurang 40 hari sebelum bulan Ramadan, memberi gambaran Perbadanan Stadium Kelantan tidak mempunyai perancangan awal.
“Keesokan hari lepas pengumuman FAMA itu, sebuah syarikat terus menghantar permohonan untuk menguruskan Bazar Ramadan di kawasan stadium tersebut yang jadi persoalan, bilakah syarikat tersebut membuat pembentangan pelan pelaksanaan Bazar Ramadan kepada pihak Perbadanan Stadium Kelantan? Ujarnya.
Beliau mengulas, jika dibandingkan dengan tapak negeri lain misalnya Majlis Bandaraya Shah Alam pihak berkenaan mengumumkan permohonan Bazar Ramadan seawal 21 November tahun lepas.
“Kerajaan negeri Kelantan dan pengurusan tertinggi Perbadanan Stadium Kelantan sepatutnya perlu penjelasan komitmen dan perancangan pada Ramadan tahun ini serta tahun-tahun seterusnya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

