Remaja dikhuatiri lemas ketika mandi sungai

Operasi SAR mangsa menggunakan bantuan anggota PPDA dari BBP Kota Marudu.
Operasi SAR mangsa menggunakan bantuan anggota PPDA dari BBP Kota Marudu.
A
A
A

KOTA BELUD - Keriangan seorang ibu mandi di Sungai Kadamaian bersama dua anaknya bertukar duka apabila salah seorang daripadanya dikhuatiri lemas dalam kejadian di Kampung Pirasan di sini pada petang Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, remaja perempuan berusia 16 tahun dibawa arus ketika sedang mandi di sungai tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.58 petang.

Katanya, seramai lapan anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh enam kilometer dari BBP Kota Belud.

"Menurut maklumat, ibu bersama dua anaknya sedang mandi dan ketika kejadian mangsa mandi berhampiran kira-kira dua meter dari tebing sungai.

"Namun tepi sungai itu agak dalam dan menyebabkan mangsa hilang dibawa arus," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Pencarian dilakukan di tebing Sungai Kadamaian, lokasi mangsa dikhuatiri lemas di Kampung Pirasan, Kota Belud.
Pencarian dilakukan di tebing Sungai Kadamaian, lokasi mangsa dikhuatiri lemas di Kampung Pirasan, Kota Belud.

Katanya lagi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa segera dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"SAR hari ini memasuki hari kedua yang turut mendapat bantuan daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Kota Marudu melibatkan lima anggota, penduduk kampung dan agensi penyelamat lain.

"Operasi SAR dibuat dengan kaedah selaman di lokasi dan pencarian di permukaan air menggunakan bot penyelamat," katanya.

Muhammad Syazwan berkata, setakat ini belum ada tanda penemuan mengenai mangsa.

"Maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!