Remaja lelaki dikhuatiri lemas di Pantai Shahbandar

TUARAN - Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas akibat dibawa arus ombak ketika mandi bersama ahli keluarganya di Pantai Shahbandar di sini pada petang Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa dikenali sebagai Mohd Nabil berusia 15 tahun hilang dari pandangan selepas usaha cuba menyelamatkannya gagal.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa yang tidak pandai berenang cuba diselamatkan bapa saudaranya namun keadaan arus ombak yang kuat menyebabkan dia semakin jauh.

Kali terakhir mangsa dilihat berada kira-kira 50 meter dan ketika itu hanya tangannya yang terkapai-kapai sebelum hilang dari pandangan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran Mohd Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.52 petang.
Menurutnya, seramai 11 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 10 kilometer dari BBP Tuaran.
"Menurut pengadu, mangsa dikhuatiri lemas ketika mandi bersama keluarganya di pantai tersebut.
"Pasukan bomba yang tiba di lokasi bertindak mendapatkan maklumat dan seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sepanjang pantai," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya lagi, unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Zon Kota Kinabalu turut memberikan bantuan untuk melakukan SAR di lokasi.
"Mangsa belum ditemukan setakat ini dan maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!