Bomba guna teknik ‘surface searching’ kesan remaja dikhuatiri lemas

PENDANG - Usaha mengesan seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas motosikal ditunggangi terjatuh ke sungai Padang Terap di Chegar dekat sini pada petang Ahad, disambung pagi ini.
Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Rahim berkata, operasi pencarian bermula jam 7.15 pagi melalui rondaan dengan melakukan kaedah ‘surface searching’ di sekitar sungai terbabit.
Menurutnya, operasi pencarian mangsa dikenali sebagai Nur Haidhar Nasrul disertai tiga anggota.
“Pada Ahad, pasukan penyelamat menggunakan sebuah bot dibantu beberapa bot orang awam yang mencari di sekitar kawasan mangsa dilaporkan terjatuh.

“Operasi diaktifkan jam 10.29 malam dan pencarian dilakukan sehingga jam 12 tengah malam sebelum disambung pada pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada malam Ahad, media melaporkan bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 7.16 malam dan sepasukan anggota Balai Bomba Penyelamat (BBP) Pendang segera digerakkan ke lokasi kejadian.
Sebaik setiba di lokasi kejadian, bomba menemui sebuah motosikal jenis Modenas Kriss di dalam sungai dan saksi kejadian mendakwa seorang lelaki anggaran berusia 17 tahun dikhuatiri lemas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!