Mohd Suhaimi kekal terajui Bersatu Kedah

“Bersatu perlu tambah ahli parti, tingkatkan sokongan hadapi PRU16”

Muhyiddin (lima dari kiri) bergambar ketika Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan sempena Majlis Perjumpaan Khas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (lantikan), Ketua BPN dan Timbalan Ketua BPN di Petaling Jaya pada Jumaat.
Muhyiddin (lima dari kiri) bergambar ketika Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan sempena Majlis Perjumpaan Khas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (lantikan), Ketua BPN dan Timbalan Ketua BPN di Petaling Jaya pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah sekali lagi diberikan kepercayaan untuk mengemudi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Kedah.

Mohd Suhaimi yang menggalas amanah tersebut sejak 2020 selepas dilantik menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Pengerusi Badan Pimpinan Negeri (BPN) Kedah digandingkan dengan Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Salleh Saidin sebagai Timbalan Ketua BPN Bersatu Kedah.

Pelantikan tersebut diumumkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan sempena Majlis Perjumpaan Khas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (lantikan), Ketua BPN dan Timbalan Ketua BPN di Petaling Jaya pada Jumaat.

Terdahulu, Mohd Salleh yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kuala Kedah antara pemimpin pelapis dilihat berdepan laluan mudah dalam politik selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mohd Salleh (dua dari kanan) mengangkat sumpah jawatan sebagai Timbalan Ketua BPN Bersatu Kedah ketika Majlis Perjumpaan Khas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (lantikan), Ketua BPN dan Timbalan Ketua BPN di Petaling Jaya pada Jumaat.
Mohd Salleh (dua dari kanan) mengangkat sumpah jawatan sebagai Timbalan Ketua BPN Bersatu Kedah ketika Majlis Perjumpaan Khas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (lantikan), Ketua BPN dan Timbalan Ketua BPN di Petaling Jaya pada Jumaat.

Menurut Mohd Salleh, Bersatu perlu memberi tumpuan kepada dua aspek utama bagi mendepani cabaran berdepan PRU16 untuk kekal relevan dalam politik negara.

“Dua perkara ini ialah menambah keahlian parti dan meningkatkan sokongan. Penambahan keahlian penting kerana ia asas kepada kekuatan sesebuah organisasi politik.

“Namun pertambahan ahli sahaja tidak memadai jika kita gagal raih sokongan khususnya golongan non-partisan atau pengundi atas pagar. Bersatu perlukan strategi lebih segar bersesuaian dengan iklim politik dan keperluan semasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, antara pembaharuan termasuk memanfaatkan teknologi dan media sosial secara lebih efektif kerana lanskap politik kini tidak lagi bergantung semata-mata kepada pendekatan fizikal atau bersemuka.

Artikel Berkaitan:

Mohd Salleh (kanan) menerima watikah pelantikan daripada Muhyiddin, sambil disaksikan Mohd Suhaimi (kiri) ketika Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan di Petaling Jaya pada Jumaat.
Mohd Salleh (kanan) menerima watikah pelantikan daripada Muhyiddin, sambil disaksikan Mohd Suhaimi (kiri) ketika Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan di Petaling Jaya pada Jumaat.

“Kita perlu kuasai digital bukan sahaja untuk menyampaikan mesej termasuk membina naratif yang meyakinkan bagi menarik minat pengundi muda.

“Aspek kepimpinan dan keupayaan menyelesaikan masalah rakyat juga tidak boleh diabaikan. Rakyat mahukan pemimpin yang pantas bertindak menyelesaikan isu setempat,” ujarnya.

Mohd Salleh berkata, kerjasama strategik bersama pihak berkepentingan juga perlu diperhalusi.

“Dalam iklim politik yang sentiasa berubah, keupayaan membina jaringan politik yang kukuh dan memperkukuhkan gabungan sedia ada akan memberi kelebihan untuk berdepan PRU16.

“Kita harus pastikan segala usaha dilakukan mempunyai hala tuju jelas dan dapat diterjemahkan kepada tindakan, iaitu berkhidmat kepada rakyat. Ini akan membuatkan Bersatu kekal relevan sehingga generasi seterusnya,” katanya yang menyertai Bersatu pada 2020.

Beliau berkata, kesetiaan kepada parti dan kepimpinan sama ada di peringkat pusat mahupun negeri amat penting dalam mengukuhkan kedudukan parti.

“Saya akan bantu Ketua BPN perkasakan lagi parti. Kami alan dekati akar umbi dalam mengukuhkan hubungan dalam kalangan barisan kepimpinan bahagian, cawangan dan ahli serta mengenal pasti kekuatan dan kelemahan sebelum merangka langkah selanjutnya.

“Inilah masa untuk manfaatkan kelebihan dan perbaiki kekurangan dalam kita menginjak PRU16. Kerjasama dengan Pas dan Gerakan perlu dieratkan dengan membina hubungan kerja yang baik.

“Ia bukan sahaja mengukuhkan Perikatan Nasional (PN) malah membantu melancarkan pentadbiran negeri,” katanya.

Mohd Salleh berkata, penerangan dasar dan hala tuju parti sama pentingnya dengan penjelasan mengenai kedudukan dan pendirian parti dalam isu-isu semasa.

“Cara penyampaian penting agar ahli parti mudah faham apa yang kita perjuangkan dan ke mana perjuangan itu dibawa.

“Sudah banyak dilakukan Bersatu Kedah, namun saya percaya banyak lagi boleh dilakukan antaranya wujudkan mekanisme pemantauan bagi memastikan setiap bahagian dan cawangan bergerak selari dengan hala tuju negeri dan pusat.

“Ini boleh dilakukan dengan menganjurkan bengkel kepimpinan dan latihan dalam memantapkan lagi kedudukan parti,” jelasnya.

Menurutnya, tiada ramuan khusus dalam politik untuk diterima rakyat, sebaliknya pengukuran itu dinilai rakyat berdasarkan khidmat diberikan.

“Sebelum ceburi politik, saya banyak lakukan kerja kemasyarakatan menerusi Yayasan Salleh Saidin. Apabila bergelar 'orang politik', saya hanya meneruskan apa yang pernah lakukan dengan ruang lebih luas.

“Politik adalah platform terbaik memperjuangkan apa yang saya yakini, termasuk ruang berkhidmat dan mendekati masyarakat.

“Jawatan datang bersama amanah dan tanggungjawab. Sebab itu saya sentiasa ingatkan diri saya bukan hanya perlu menjawab kepada rakyat yang memilih saya sebagai wakil rakyat, tetapi lebih penting kepada ALLAH SWT yang tanpa izin-Nya tidak akan berada pada kedudukan ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!