Kilang e-waste haram di Klang digempur

Pelbagai barang e-waste yang dijumpai di sebuah premis di Jalan Kapar, Klang pada Sabtu.
Pelbagai barang e-waste yang dijumpai di sebuah premis di Jalan Kapar, Klang pada Sabtu.
A
A
A

KLANG - Kegiatan memproses sampah elektronik (e-waste) di sebuah premis di Jalan Kapar, di sini, dibongkar dengan rampasan berjumlah RM10.3 juta, pada Sabtu.

Serbuan kira-kira jam 12 tengah hari dilakukan sepasukan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkuasa tempatan.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintenden Jafri Muhamad berkata, dua lelaki warga Kemboja berusia 24 dan 42 tahun merupakan pekerja di premis telah ditahan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menjumpai sejumlah barangan buangan yang dikategorikan sebagai Buangan Terjadual di dalam jadual pertama, Peraturan- Peraturan Kualiti Alam Sekeliling Terjadual 2005.

PGA menyerbu premis e-waste di Jalan Kapar, Klang pada Sabtu.
PGA menyerbu premis e-waste di Jalan Kapar, Klang pada Sabtu.

"Barangan dirampas ialah 120 tan logam tembaga, 100 tan logam aluminium, 80 tan logam keluli stainless steel, satu mesin pemotong wayar, dua mesin pemampat, dua mesin kompresor, mesin pelurus logam (1), mesin timbang berat (1) dan 250 unit meter elektrik.

"Turut dirampas ialah tiga forklift beserta kunci serta sebuah lori," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Tambahnya, kesemua rampasan telah diserahkan kepada pihak JAS untuk tindakan di bawah Seksyen 22, 25, 34A, dan 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1976, manakala tangkapan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara bagi tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Jelas Jafri, tangkapan dan rampasan ini berjaya mengekang kegiatan memproses e-waste secara haram di sekitar Lembah Klang.

Artikel Berkaitan:

"Batalion 4 PGA menyeru masyarakat agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada PDRM berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!