Rakyat Terengganu lega Bas.My mudahkan urusan

KUALA TERENGGANU - Perkhidmatan bas henti-henti di bawah Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) atau Bas.My memberi kelegaan kepada rakyat di Terengganu untuk menggunakan kemudahan pengangkutan awam tersebut secara kerap dan lebih selesa.
Rata-rata pengguna ditemui Sinar Harian menyatakan perkhidmatan tersebut memudahkan urusan mereka untuk ke bandar Kuala Terengganu berikutan bas disediakan mengikut jadual perjalanan ditetapkan dengan kekerapan setiap satu jam bermula 6 pagi sehingga 7.30 malam.
Menurut pekerja kedai makan, Mahani Ismail, 57, dia tidak lagi perlu menggunakan perkhidmatan e-hailing yang menelan kos lebih tinggi berbanding menaiki bas setiap kali ingin ke bandar Kuala Terengganu.
"Saya selalu menggunakan perkhidmatan e-hailing setiap kali ke bandar malah caj dikenakan agak tinggi memandangkan saya tinggal di Wakaf Tapai. Belum lagi kira kos pergi dan balik...memang menelan belanja besar jika guna e-hailing.
"Jadi bila sudah ada perkhidmatan bas ini, sedikit sebanyak meringankan beban saya tanpa perlu mengeluarkan belanja tinggi untuk pergi ke bandar. Basnya cukup selesa dan sangat membantu rakyat," katanya di sini pada Sabtu.

Program SBST merupakan inisiatif di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia dan dikawal selia oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah dilaksana di beberapa ibu negeri di Semenanjung Malaysia antaranya Seremban, Ipoh, Kangar, Johor Bahru, Melaka dan Kuala Terengganu.
Perkhidmatan bas di bawah program SBST itu dijenamakan semula sebagai Bas.My sempena pengenalan reka corak bas berwarna merah jambu yang ceria dan menarik.

Tinjauan Sinar Harian di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mendapati operasi Bas.My berjalan dengan lancar dan kadar kekerapan bas yang bermula jam 6 pagi hingga 7.30 malam adalah setiap satu jam.
Sementara itu, pekerja kedai telefon, Mohd Suhaimi Jusoh, 35, berkata, dia tidak lagi perlu menunggu lama bagi menggunakan perkhidmatan bas untuk ke tempat kerjanya di bandar Kuala Terengganu.
"Sebelum ini ada perkhidmatan bas tetapi terpaksa tunggu lama sedikit sebab mungkin bas kurang sehingga jadual perjalanan itu lama.
"Jadi adanya Bas.My ini maka kita ada pilihan untuk dapatkan bas lain secara lebih kerap dan mengikut jadual ditetapkan. Perkhidmatan itu memudahkan urusan sebab saya memang selalu naik pengangkutan awam untuk pergi kerja," ujarnya.
Bagi suri rumah, Nur Maliha Mizi, 35, pula berkata, dia kini boleh berjimat kerana kos tambang bas tersebut yang murah selain tidak membebankan berbanding menggunakan perkhidmatan e-hailing.
"Harga tambang pun murah tak sampai RM5 pergi dan balik berdasarkan lokasi. Memudahkan urusan kami untuk pergi ke bandar tanpa perlu menunggu masa lama," ujarnya.
Buruh binaan, Ahmad Maliki Rashid, 41, berkata, perkhidmatan bas berwajah baharu itu juga memberi keselesaan kepada pengguna dengan ruang duduk yang selesa dan luas.
"Anak saya teruja nak naik Bas.My sebab ia tampilkan imej menarik dengan warna merah jambu. Jadi semasa cuti sekolah ketika ini, saya dan isteri bawa anak rasai pengalaman naik bas baharu yang sangat selesa dan bersih ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!