Puspakom Wangsa Maju ditutup pada Jun, JPJ bina fasiliti baharu

Puspakom mengumumkan akan menutup operasinya di Wangsa Maju selewat-lewatnya Jun ini. (Gambar kecil: Mahmood Razak)
Puspakom mengumumkan akan menutup operasinya di Wangsa Maju selewat-lewatnya Jun ini. (Gambar kecil: Mahmood Razak)
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) mengumumkan akan menutup operasinya di Wangsa Maju selewat-lewatnya Jun ini selepas menerima arahan daripada Kementerian Pengangkutan (MOT).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata, penutupan itu adalah untuk memberi laluan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membina fasiliti baharu di tapak yang sama.

Menurut beliau, pihaknya akan membuat pengumuman asing mengenai perancangan untuk meminda waktu perkhidmatan di beberapa pusat pemeriksaan lain di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan bagi menangani kesan penutupan tersebut.

“Secara purata, Puspakom Wangsa Maju memeriksa 800 unit kenderaan sehari. Jadi kita perlu membuat kajian semula waktu perkhidmatan beberapa cawangan untuk menampung pengurangan slot pemeriksaan ini.

“Cawangan ganti yang tetap telah pun dikenal pasti dan dipersetujui oleh JPJ tahun lalu. Pelan asal penutupan ini adalah pada Disember 2026 serta kami bersetuju untuk menutup lokasi ini kerana ia merupakan antara cawangan paling sibuk, namun terletak di kawasan berkepadatan tinggi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, JPJ menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat unsur salah guna kuasa berkaitan kes sebuah kenderaan dianggap tidak selamat namun didapati lulus pemeriksaan di Puspakom Wangsa Maju pada Disember tahun lalu.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, tiga kakitangan Puspakom dirakam keterangan berhubung kes berkenaan.

Kes tersebut diteruskan dengan penangkapan seramai 13 lagi pegawai pemeriksa kenderaan di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan di ibu negara ditahan SPRM kerana disyaki terlibat dalam sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan berat.

Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia antara 20 dan 40-an ditahan antara jam 1 tengah hari hingga 2 petang pada Selasa dan 10 pagi hingga 3 petang pada Rabu pada 9 Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mahmood berkata, cawangan ganti yang diluluskan JPJ adalah di Bukit Beruntung dan Rawang serta akan selesai pada Disember 2026.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan penutupan lebih awal itu menimbulkan masalah baharu jadi pihaknya akan mencuba menampung dengan menambah waktu operasi beberapa cawangan lain.

“Cawangan Wangsa Maju memeriksa semua kategori kenderaan termasuk kenderaan berat. Tidak semua cawangan Puspakom mempunyai keupayaan memeriksa kenderaan berat.

“Jadi, Puspakom menggesa pelanggan kami untuk memeriksa kenderaan lebih awal iaitu dalam tempoh 14 hari sebelum tarikh tamat permit kenderaan. Ini akan memudahkan mereka sekiranya mereka gagal ujian asal.

“Jika mereka gagal ujian asal pada hari terakhir permit mereka, maka mereka akan terburu-buru memperbaiki punca kegagalan dan datang untuk pemeriksaan semula,” ujarnya.

Tambahnya, jika pemeriksaan dibuat awal seperti yang dibenarkan pihak berkuasa, jadi pemilik akan mempunyai masa lebih lama untuk membaiki kenderaan dan melakukan pemeriksaan semula.

Puspakom Wangsa Maju adalah antara cawangan terawal syarikat pemeriksaan kenderaan tersebut dan dibuka pada 1995 serta mempunyai enam lorong pemeriksaan pada tanah berkeluasan 4.3 ekar (1.7 hektar).

Kos pembangunan ketika ia dibuka pula adalah bernilai lebih RM10 juta dan seramai 37 kakitangan bertugas di cawangan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!