Sungai ada buaya, penduduk rayu segera bina jambatan baharu

RANTAU PANJANG - Lebih 2,000 penduduk di Rong Chenok di sini merayu kerajaan menyegerakan pembinaan jambatan baharu sepanjang 100 meter dianggarkan bernilai RM20 juta bagi menggantikan Jambatan Rong Chenok yang runtuh akibat banjir November tahun lalu.
Pesara guru, Rukman Zakaria, 60, berkata, penduduk di 10 kampung di kawasan tersebut kini terpaksa bergadai nyawa menyeberangi Sungai Mahligai dengan menggunakan titian buluh yang dibina secara bergotong-royong.
Katanya, kampung terlibat ialah Kampung Chandang, Joh, Pok Kelong, Rong Chenok, Banggol Kuching, Mahligai, Anak Machang, Hutan Petai, Jelor dan Sungai Keladi.

“Amat bahaya kerana sungai ini berkedalaman hampir 12 meter ditambah dengan adanya buaya selain titi buluh terbabit dibina di atas rumput mampat yang terapung di sungai.
“Jambatan baharu perlu segera dibina kerana urusan dan pergerakan penduduk menjadi sukar lebih-lebih lagi kepada pelajar sekolah menjelang sesi persekolahan yang bakal bermula pada Ahad depan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Rong Chenok di sini pada Ahad.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan, binaan konkrit Jambatan Rong Chenok runtuh dibadai arus deras banjir dan hanyut ke dalam sungai mengakibatkan penduduk terputus hubungan dan terpaksa membina titi buluh sejak Disember tahun lalu.

Menurut Rukman, kepayahan dialami itu turut menyebabkan ada ibu bapa yang mengambil keputusan memindahkan anak-anak mereka ke sekolah lain.
“Di Rong Chenok ada sekolah tahfiz, tetapi mereka yang tinggal di kampung seberang terpaksa pindah kerana tidak mahu anak-anak berdepan bahaya jatuh ke sungai,” katanya.
Seorang lagi penduduk yang merupakan mekanik, Mohd Zulkifli Che Hashim, 45, berkata, jambatan yang dibina sejak tahun 1988 itu adalah laluan utama penduduk dan sejak runtuh, penduduk terpaksa meninggalkan kenderaan masing-masing untuk menyeberangi sungai menggunakan titi berkenaan.
“Jika tidak, penduduk perlu gunakan laluan sejauh lebih 20 kilometer yang memakan masa perjalanan sehingga sejam berbanding hanya dua minit melalui jambatan ini.
“Saya pun dari Kampung Mahligai, meniti sejauh 100 meter dan kawan pula ambil di seberang untuk ke tempat kerja membaiki jentera berat di Kampung Rong Chenok,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, beliau mengusulkan pembinaan jambatan baharu Rong Chenok berkenaan pada sidang Parlimen minggu lepas.
“Kami kini menunggu maklum balas daripada pihak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah berhubung jambatan baharu yang dijangka menelan belanja RM20 juta itu.
“Saya juga berharap peruntukan disegerakan bagi menyelesaikan masalah dihadapi penduduk di 10 kampung berkenaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

