MCA gesa KPM segera bina SJKC baharu di Johor Bahru

JOHOR BAHRU - MCA menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mempercepatkan pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) baharu termasuk SJKC Sim Mow Yu, SJKC Kuo Ho Yao dan SJKC Tun Lee Hau Shik.
Setiausaha Pemuda MCA Bahagian Pasir Gudang, Dr Chua Ching Hao berkata, pihak kementerian juga perlu mengaktifkan semula projek pembinaan SJKC Tan Kah Kee yang sudah lama tergendala.
"Populasi di kawasan selatan Johor terus berkembang, manakala SJKC sedia ada sudah melebihi kapasiti kemasukan pelajar setiap tahun.
"Jika kerajaan terus menggunakan purata nasional untuk mengaburi ketidakseimbangan pendidikan mengikut kawasan, ini hanyalah penyelesaian sementara yang tidak menyelesaikan akar masalah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini media melaporkan, KPM menyasarkan untuk menyelesaikan pelaksanaan sistem sekolah satu sesi di seluruh negara dalam masa lima tahun.
Fadhlina berkata, sehingga kini lebih 9,000 daripada lebih 10,000 sekolah di seluruh negara telah melaksanakan sistem satu sesi manakala selebihnya belum berbuat demikian berikutan kepadatan murid.
Mengulas lanjut, Ching Hao memaklumkan, cadangan untuk membina lebih banyak SJKC di kawasan padat kaum Cina akan menyelesaikan masalah kekurangan kelas secara menyeluruh.
Ujarnya, ia sekali gus mampu mengelakkan kualiti pendidikan daripada terus merosot akibat sistem sesi pagi dan petang.
"Saya mengkritik keras Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek kerana tidak berpijak di bumi nyata susulan kenyataannya iaitu 'Hanya sebilangan kecil sekolah masih menjalankan sesi pagi dan petang'.
"Ini termasuk kenyataan membidas 'Minoriti bagi anda, tetapi majoriti bagi kami!' sambil mengemukakan fakta bahawa lebih 9,000 sekolah di seluruh negara melaksanakan sesi pagi sepenuhnya.
"Sebenarnya, situasi di SJKC di Johor Bahru jauh berbeza dan penuh dengan cabaran," jelasnya.
Tambah beliau, sebanyak 11 SJKC di daerah Pasir Gudang dan lapan daripadanya masih terpaksa mengekalkan sistem dua sesi kerana jumlah pelajar terlalu ramai.
Susulan daripada itu katanya, hanya 27.3 peratus kadar pelaksanaan sesi pagi di SJKC dalam daerah berkenaan dapat dijalankan.
"Ketika ini, hanya 10 peratus sekolah di seluruh negara masih belum melaksanakan sesi pagi sepenuhnya, namun angka ini mencecah lebih 70 peratus bagi SJKC di Pasir Gudang.
"Jelas bahawa Menteri Pendidikan hanya melihat angka di atas kertas tetapi tidak memahami keperluan sebenar masyarakat Cina.
"Mengenai sasaran KPM untuk laksanakan sesi pagi sepenuhnya dalam tempoh lima tahun, saya berpendapat bahawa kerajaan perlu menyelesaikan masalah kekurangan sekolah di kawasan berpenduduk padat kaum Cina terlebih dahulu," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!