Baitulmaqdis, Masjid al-Aqsa kota perjuangan
Usaha Rasulullah SAW dan para sahabat bebaskan kota suci itu jadi panduan umat Islam kini

BERBICARA mengenai Masjid al-Aqsa dan Baitulmaqdis, tentunya kita sebagai umat Islam akan terbayang mengenai kesukaran serta kepayahan saudara seagama kita di sana sejak sekian lama.
“Baitulmaqdis merupakan tanah suci ketiga umat Islam di mana terletaknya Masjid al-Aqsa yang merupakan kiblat pertama sebelum diubah ke arah Masjidil Haram di Makkah.
“Apa yang menjadi hikmah ALLAH SWT, setiap kali ayat pertama surah al-Isra’ dibacakan, setiap kali itu juga kita mengingati keadaan yang sedang menimpa Masjid al-Aqsa yang berada di bawah belenggu penjajahan rejim Zionis,” ucap khatib pada permulaan khutbah.
Khutbah Khas Jumaat bertajuk Cinta Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa itu diterbitkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman melalui laman sesawang rasmi jabatan tersebut.
Mengenang kembali sejarah, kira-kira tujuh tahun setelah berlakunya perubahan kiblat ke Masjidil Haram, ALLAH SWT mengurniakan kemenangan bagi umat Islam dengan pembukaan kota Makkah.
“Peristiwa besar ini menyaksikan agama tauhid ditegakkan dan kesyirikan dihapuskan di kota Makkah. Maka ibadat dan pengabdian hanya tertumpu kepada ALLAH semata-mata.

“Dalam sejarah Islam, kedua-dua masjid suci ini telah dibina oleh Nabi Ibrahim AS sebagaimana yang disebutkan dalam satu hadis yang sahih,” jelasnya.
Meneruskan khutbah, khatib menyatakan setelah berlakunya perubahan kiblat menghadap ke arah Kaabah di Makkah pada tahun kedua Hijrah, berlakulah siri peperangan antara kaum Muslimin di Madinah dengan kaum Musyrikin di Makkah.
“Antaranya seperti peperangan Badar, Uhud, Khandak sehinggalah Perjanjian Hudaibiyah pada tahun keenam Hijrah dan peristiwa Fathu Makkah pada tahun kelapan Hijrah.
“Sebagaimana kesungguhan Rasulullah SAW membebaskan Masjidil Haram daripada cengkaman kaum Musyrikin Makkah, begitulah juga keazaman Baginda untuk membebaskan Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa daripada penguasaan Rom yang menganut agama Nasrani, dengan pelbagai siri peperangan yang dilancarkan,” jelasnya.
Antaranya pasukan tentera yang dipimpin Rasulullah SAW sendiri menuju ke Tabuk sehingga perutusan tentera yang dipimpin Usamah bin Zaid RA pada akhir hayat Baginda.
“Namun misi pembebasan Baitulmaqdis yang dimulakan Nabi SAW hanya berlaku setelah kewafatan Baginda pada tahun ke-15 Hijrah pada zaman pemerintah Umar Al-Khattab RA,” hurainya.
Baitulmaqdis kota wakaf
Ujar khatib, kota Baitulmaqdis telah diwakafkan kepada seluruh umat Islam dan tidak boleh dijual beli atau dipertaruh-kan kepada musuh-musuh Islam.
Tambahnya, Masjid al-Aqsa menjadi tumpuan ziarah umat Islam dari seluruh pelusuk dunia sebagaimana anjuran Rasulullah SAW dalam sabdanya:
“Janganlah kamu bersusah-payah mengembara (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu Masjidil Haram, masjid Rasulullah (Masjid Nabawi di Madinah) dan Masjid al-Aqsa.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Maka, kota suci Baitulmaqdis menjadi kecintaan setiap Muslim dan kekal berada di tangan umat Islam selama ratusan tahun sehingga berlaku penaklukan Tentera Salib dari Empayar Byzantine ke atas kota itu pada Julai 1099 Masihi, ujarnya.
Bagaimanapun katanya, kehilangan itu dapat ditebus semula dengan pembebasan kedua kota Baitulmaqdis di tangan Sultan Salahuddin Al-Ayyubi pada tahun 1187 Masihi atau lebih tepatnya pada Jumaat, 27 Rejab 583 Hijrah.
“Tarikh tersebut bertepatan pula dengan sambutan memperingati peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah SAW.

“Setelah itu banyak cubaan untuk merasmpas semula kota ini oleh Tentera Salib namun dapat dipatahkan oleh umat Islam ketika itu dengan kekuatan iman, semangat perpaduan dan persaudaraan Islam yang tinggi,” jelasnya.
Palestin kini
Menurut khatib, pada hari ini telah berlalu lebih 75 tahun penjajahan bumi Palestin di mana kota Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa berada di bawah cengkaman rejim Zionis yang zalim dan melampaui batas.
“Tidak perlu diceritakan kejahatan dan kerosakan yang telah mereka lakukan sepanjang penubuhan negara haram Israel pada 15 Mei 1948 sehingga peperangan yang dilancarkan terhadap Gaza sejak Oktober 2023.
“Bahkan ia turut membawa kepada serangan negara-negara berjiran seperti di Lubnan dan Damsyik, Syria serta pencerobohan Dataran Tinggi Golan.
“Persoalannya, tiadakah lagi umat Islam yang cintakan Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa pada zaman ini seperti mereka yang terdahulu seperti dilakukan Umar atau Salahuddin Al-Ayyubi yang mengorbankan darah dan air mata mereka membebaskan bumi suci umat Islam daripada cengkaman musuh?” tanya khatib kepada para jemaah.

Ujarnya, walaupun banyak halangan dan cabaran yang melintang, umat Islam tetap yakin golongan yang zalim ini dapat dikalahkan juga sebagaimana ALLAH SWT menceritakan dalam ayat keempat hingga enam surah al-Isra’.
“Sejak 7 Oktober 2023, dunia luar dapat menyaksikan satu krisis kemanusiaan yang paling buruk berlaku pada abad ini.
“Dalam serangan genosid yang dilakukan oleh penjenayah dunia rejim Yahudi Israel dan sekutunya ke atas penduduk Palestin, ia telah mengorbankan lebih 45,000 nyawa manakala kira-kira lebih 108,000 orang mengalami kecederaan,” ujar khatib.
Khatib mengingatkan bahawa kekejaman ini pasti kekal dalam ingatan kita dan wajib dihentikan segera dengan apa sahaja usaha daripada semua pihak tanpa mengira agama, bangsa dan negara.
“Di samping itu, umat Islam yang memiliki kemanisan iman hendaklah berpegang teguh kepada semangat persaudaraan Islam,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

