‘Kegembiraan’ di sebalik tangisan Gaza
Selebriti dan aktivis kemanusiaan, Nor Salima kongsi kisah ketabahan, kekentalan hati warga Palestin berdepan ujian

KETIKA menceritakan kematian tragis menimpa adiknya, Muhammad, seorang pemuda Palestin berusia 19 tahun yang kudung kakinya begitu tenang dan bibirnya tetap mekar dengan senyuman.
Sedangkan, dia sendiri menyaksikan bagaimana insan kesayangannya itu terburai perutnya selepas diserang tentera Israel.
Mengapa Muhammad dilihat begitu gembira? Sempena Minggu Al-Quds Sedunia di seluruh negara yang berlangsung 25 Januari hingga 8 Februari, Sinar Islam Plus berkongsi bingkisan tentang perjuangan dan penderitaan rakyat Palestin yang tidak pernah terhenti.
Berbalik kepada kisah anak muda itu, selebriti dan aktivis kemanusiaan, Nor Salima Habibi yang mendengar cerita Muhammad ketika mengikuti misi kemanusian ke Gaza sekitar tahun 2012 itu pada awalnya kurang berpuas hati dengan riak wajah polos pemuda berkenaan.

Muhammad seakan tidak sedih berhadapan dengan kehilangan adiknya itu. Wanita itu lantas memberitahunya bahawa dia sudi mendengar segala luahan duka yang terbuku dalam hatinya.
“Saya tanya kenapa kamu boleh senyum? Kalau nak nangis, teruskan saja sebab saya faham dan tidak mengharapkan kamu untuk sambut saya sebagai tetamu,” katanya ketika menjadi panel pada program Demi Al-Aqsa: Masjid dan amanah kita di Kangar, Perlis baru-baru ini.
Program anjuran kerajaan Perlis di bawah Exco Hal Ehwal Agama itu turut dihadiri Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

Mengulas lanjut, ujar Nor Salima, jawapan balas yang diterima daripada Muhammad begitu menjentik hatinya kerana pemuda itu tetap berfikiran positif dan menganggap kehilangan itu sebagai satu anugerah daripada ALLAH SWT.
Kata Muhammad: “Ukhti (Saudariku), saya tidak berpura-pura pun tersenyum depan anda sekarang. Saya nak tanya, tempat mana paling menyeronokkan untuk kamu hantar keluarga kamu bagi menggembirakan mereka?”
Selepas Nor Salima menjawab Makkah dan Madinah, pemuda itu lantas membalas: “Tapi apabila balik nanti, kamu rindu tak nak pergi lagi? Sebab kegembiraan itu hanya pada masa kita ada di sana. Bila sudah balik, habis sudah kegembiraan itu.
“Sekarang ALLAH SWT ambil keluarga saya dalam keadaan mereka gembira selama-lamanya yang tiada akhirnya (iaitu di syurga). Mengapa saya nak menangis berbulan-bulan?
“Maka saya kena gembira. Apatah lagi sekarang kaki saya tiada, walaupun sedih tidak boleh berjalan tetapi sebahagian anggota tubuh saya sudah pergi ke syurga, hanya tinggal sebahagiannya saja lagi kena usaha untuk ke jannah juga.”
Pelajaran berharga
Sesungguhnya, kunjungannya ke bumi Palestin yang diberkati itu mengajar Nor Salima satu perjalanan spiritual yang akhirnya mengubah caranya berfikir, berpakaian dan kehidupannya secara keseluruhan.
Akui Nor Salima, buat pertama kali dalam hidupnya, dia belajar konsep reda dalam erti kata sebenar, satu pelajaran berharga yang mengubah persepsinya tentang kehidupan dan kebahagiaan.

“Selama ini saya faham perkataan reda itu hanya sekadar ungkapan ‘reda sahajalah, nak buat macam mana’.
“Rupanya (makna) reda di sana (Gaza) adalah menerima apa yang ALLAH SWT berikan kepada kita dengan rasa ‘Ya ALLAH, aku terima dan terima kasih ya ALLAH, mudah-mudahan ini akan bawa aku ke syurga-MU’.
“Maksudnya, kita bukan sekadar menerimanya sahaja tetapi dengan penuh berlapang dada dan kesyukuran,” ungkapnya mengimbas kembali kali kisah pertama kali menjejakkan kaki ke Gaza 13 tahun lalu selepas dirinya berhijrah.
Perjuangan wanita Gaza
Perkara menarik tentang semangat warga Palestin adalah ketabahan ibu dan isteri di Gaza.
Nor Salima melihat sendiri bagaimana kaum Hawa di sana menjadi tulang belakang kepada perjuangan suami masing-masing, mendidik anak-anak dengan keimanan yang kuat dan menyokong ketua keluarga mempertahankan agama serta tanah air.
“Bagaimana suami di sana boleh berjuang dengan penuh keyakinan? Mana datangnya sokongan-sokongan itu kalau bukan daripada seorang yang bergelar wanita bernama isteri dan ibu.
“Bayangkan bagaimana anak-anak ada kepercayaan kepada ALLAH SWT sebegitu besar dalam keadaan ayah mereka tidak sempat untuk mendidik?” ungkapnya.
Masakan tidak, ujar Nor Salima, semua kaum Adam di sana pada siangnya sibuk bekerja dan malamnya menjaga sempadan kawasan masing-masing serta menjadi Briged Al-Qassam.

“Doktor itulah (tentera) Briged Al-Qassam, begitu juga dengan wartawan. Mereka tiada askar yang betul-betul macam kita.
“Satu lagi yang perlu diberi perhatian, iman mereka bukan boleh diusik-usik dengan luka dan darah. Lafaz Hasbunallahu wa ni’mal wakil (Cukuplah ALLAH sebagai penolong kami dan ALLAH adalah sebaik-baik pelindung) sentiasa diratib pada bibir mereka,” tuturnya.
Ujarnya lagi, peranan itu sudah lama dimainkan oleh kaum Hawa dan dapat dilihat pada zaman Nabi Muhammad SAW yang mana mereka turut membantu lelaki berjuang dengan sokongan moral.
“Bukan semua orang tahap keimanannya sama dengan Nabi Muhammad SAW, ada juga yang gerun. Jadi isteri juga memainkan peranan untuk pujuk dan meyakinkan suami.
“Sebagai suri rumah, jika suami hendak pergi berjuang, berilah (lampu hijau). Tidak perlulah kita berfikir bukan-bukan. Ingatlah, jika hendak meninggal, sebelah kita pun (suami) boleh meninggal.
“Namun begitu, kalau suami kita dapat meninggal dengan cara terbaik, mudah-mudahan kita pun dapat ikut sekali,” katanya sambil mengingatkan bahawa kehidupan hanyalah persinggahan sementara dan setiap ujian merupakan satu peluang untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
