Keluarga kutip makanan tamat tempoh dapat perhatian Perdana Menteri

Md Asyraf (kiri) menghulurkan bantuan tunai dan barangan dapur kepada keluarga berkenaan di Kampung Darat Batu Rakit, Kuala Nerus.
Md Asyraf (kiri) menghulurkan bantuan tunai dan barangan dapur kepada keluarga berkenaan di Kampung Darat Batu Rakit, Kuala Nerus.
A
A
A

KUALA NERUS - Penderitaan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) fizikal bersama isterinya yang terpaksa mengambil makanan tamat tempoh demi mengalas perut keluarganya mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Terengganu, Md Asyraf Zulfadhly Md Zainudin berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Politik Anwar, Muhammad Kamil Abdul Munim mengenai perkara tersebut.

Susulan itu, Md Asyraf Zulfadhly menyatakan keluarga berkenaan akan dijadikan anak angkat AMK Terengganu dengan fokus diberi terhadap aspek pendidikan dua anak Jani Yusof, 62, iaitu Muhammad Aqil Azhari, 8, dan Muhammad Syahrin Izzudin, 7, yang masih bersekolah.

"Kami sudah berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) bagi melihat keperluan Muhammad Aqil Azhari dan Muhammad Syahrin Izzudin.

"Kita akan memantau keluarga Jani selain meringankan beban kehidupan lima beranak terbabit termasuk rumah didiami mereka yang sudah uzur," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghulurkan bantuan tunai dan barangan dapur kepada keluarga berkenaan di

Kampung Darat Batu Rakit, di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Md Asyraf berkata, pihaknya akan melihat bantuan lain yang diperlukan keluarga berkenaan untuk diteliti.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki OKU fizikal bersama isterinya terpaksa mengambil makanan tamat tempoh yang dibuang di tong sampah berhampiran pasar raya demi meneruskan kelangsungan hidup untuk menyara dan mengalas perut ahli keluarganya.

Jani berkata, makanan yang dikutip itu bukanlah sisa makanan namun barangan yang masih berbungkus selepas dibuang pemilik pasar raya kerana sudah tamat tempoh.

Mengulas lanjut, Jani berkata, setiap hari dia bersama isterinya Maznah Abu Bakar, 43, akan menaiki motosikal roda tiga untuk mencari bahan kitar semula bagi mencari rezeki.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di rumah Jani mendapati rumah didiami tersebut agak daif dan pembinaannya tidak sempurna kerana menggunakan papan lapis dan kain rentang buangan sebagai dinding rumah tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!