Saksi kes Zayn Rayyan nafi diugut polis

Zaim Ikhwan (kanan) bersama Ismanira (kiri) ketika tiba di Mahkamah Sesyen pada Jumaat bagi sambung bicara kes pengabaian.
Zaim Ikhwan (kanan) bersama Ismanira (kiri) ketika tiba di Mahkamah Sesyen pada Jumaat bagi sambung bicara kes pengabaian.
A
A
A

PETALING JAYA - Pembantu guru kelas pendidikan khas menafikan di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat bahawa dia telah diugut oleh pihak polis ketika siasatan kes kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin dijalankan.

Saksi pendakwaan ke-10, Nasimah Abu Bakar berkata demikian ketika perbicaraan kes pengabaian Zayn Rayyan, dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal membabitkan Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf.

Menjawab soalan peguam, Haresh Mahadevan yang mewakili pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu, saksi ini berkata, ia bukan satu ugutan sebaliknya ia lebih kepada prosedur untuk mengambil keterangan daripada pihak terlibat.

Haresh kemudiannya mengemukakan tujuh tangkap layar perbualan Nasimah dengan datuk saudara Zayn Rayyan dikenali sebagai Zikril Azim.

Dalam tangkap layar itu, peguam ini mencadangkan, perbualan berkenaan merupakan satu ugutan semasa siasatan dijalankan, namun dibantah oleh saksi tersebut.

Peguam: Berapa kali kamu dipanggil oleh pihak polis untuk memberi keterangan, adakah lima kali atau lebih?

Nasimah: Rasanya lebih lima kali.

Peguam: Saya cadangkan, kamu tidak ingin beri keterangan palsu semasa membuat keterangan.

Nasimah: Betul.

Artikel Berkaitan:

Peguam: Itu sebabnya, pihak polis panggil kamu beri keterangan lebih lima kali tetapi kamu masih mahu bercakap jujur.

Nasimah: Betul.

Peguam: Kamu tidak ingin beri keterangan palsu dalam keterangan polis?

Nasimah: Betul.

Peguam: Saya cadangkan, anak guam saya bukan sahaja kehilangan anak, malah diheret ke mahkamah untuk menghadapi satu pertuduhan, di mana pihak polis secara tidak jujur, cuba kenakan kedua-dua tertuduh ini.

Nasimah: Tidak betul.

Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya, jam 9.55 malam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mangsa yang sebelum itu dilaporkan hilang, ditemui terbaring dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh bersambung 17 Februari depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!