Visi ‘gila’ Trump ‘bom jangka’ kepada Gaza

CADANGAN Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berhubung pengambilalihan Gaza baru-baru ini menggemparkan masyarakat seluruh negara.
Trump sebelum ini mengemukakan cadangan untuk AS mengambil alih Gaza dan memindahkan rakyat Palestin secara kekal dari wilayah yang dilanda perang itu ke negara Asia Barat lain.
Saranan tersebut dikemukakan semasa Trump menerima kunjungan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Washington pada Selasa.
Pertemuan kedua pemimpin sekutu rapat itu adalah bagi membincangkan usaha mengekalkan gencatan senjata di Gaza serta merealisasikan perjanjian normalisasi Israel-Arab Saudi.
Bagaimanapun, visi pemilikan jangka panjang itu dibimbangi akan menjejaskan fasa perjanjian gencatan senjata tersebut dan seterusnya menjadi ‘bom jangka’ kepada kemusnahan Gaza.
Idea Trump untuk Gaza tidak lagi disembunyikan, malah secara terang-terangan menyatakan kehendaknya tanpa memikirkan penerimaan masyarakat global.
Sudah tentu, kenyataan Trump itu mendapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, pendirian Malaysia terhadap Palestin kekal tidak berubah seperti mana pendirian negara-negara Islam lain susulan kenyataan Trump.
Sementara itu, pemimpin China pada Rabu juga menolak rancangan Trump untuk mengambil alih Gaza dengan menyatakan ia menentang pemindahan paksa rakyat Palestin ke negara jiran.
Menurut jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian, Beijing sentiasa percaya ‘rakyat Palestin mentadbir Palestin’ adalah prinsip asas bagi pentadbiran selepas perang di Gaza.
Dijangkakan lebih ramai pemimpin pasti akan tampil bagi membantah dan menolak cadangan Trump.
Hakikatnya, visi ‘gila’ Trump bukan sahaja perlu ditentang masyarakat antarabangsa, tetapi harus mendapat sokongan daripada kelompok pemimpin utama dunia dalam memastikan AS dan sekutunya, Israel tidak sewenang-wenangnya menjarah bumi Palestin begitu sahaja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

