Misi Trump ambil alih semenanjung Gaza amat keterlaluan - Fadhli Shaari

SHAH ALAM - Cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam misi mengambil alih Semenanjung Gaza dengan menjadikan wilayah itu sebagai 'Riviera Timur Tengah' keterlaluan.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, rancangan pemimpin negara kuasa besar dunia itu merupakan satu bentuk penghinaan terhadap kedaulatan rakyat Palestin.
“Perkara ini bukan lagi sekadar tindakan melulu Trump tetapi manifestasi keangkuhan imperialisme yang ketara. Tidak masuk akal apabila AS iaitu negara pembekal senjata kepada Israel kini muncul sebagai ‘pemilik’ baharu Gaza.
“Trump melihat perjuangan rakyat Palestin sebagai satu peluang perniagaan. Perlu diingatkan bahawa Gaza bukan miliknya untuk diambil dan tanah Palestin tidak boleh dijual,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu.
Terdahulu, Trump semasa menerima kunjungan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Washington pada Selasa mengemukakan cadangan agar AS mengambil alih Gaza.
Beliau turut mengulangi gesaannya supaya rakyat Palestin dipindahkan secara kekal dari wilayah yang dilanda perang itu menuju ke negara Asia Barat lain walaupun rakyat Palestin, Mesir dan Jordan menolak cadangan tersebut.
Selain itu, Netanyahu menyuarakan keyakinan bahawa perjanjian damai dengan saingan serantau, Arab Saudi dapat direalisasikan.
Arab Saudi bagaimanapun menegaskan bahawa mereka tidak akan menjalin hubungan diplomatik dengan Israel selagi negara Palestin belum ditubuhkan.
Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas itu menegaskan, Trump, Biden atau mana-mana kuasa barat tidak berhak menentukan masa depan Gaza.
"Palestin milik rakyat negara itu dan tiada sebarang propaganda imperialisme yang dapat mengubah hakikat tersebut.
“Dalam masa sama, kami turut bersimpati dengan rakyat Amerika yang sekali lagi terpaksa menghadapi seorang pemimpin tidak bertanggungjawab malah sedia mengheret negara ke dalam konflik antarabangsa,” kata beliau.
Tambahnya, AS di bawah pentadbiran Trump juga berisiko terjebak dalam konflik global yang hanya akan merosakkan reputasi negara itu di pentas dunia.
“Daripada memberi keutamaan kepada kebajikan rakyatnya sendiri, Washington terus mengejar ilusi penguasaan global dan membuang wang ke dalam peperangan yang tidak mendatangkan apa-apa manfaat kecuali melemahkan negaranya sendiri.
“Dasar ini tidak lain daripada ‘menelan lebih daripada mampu dikunyah’ dan jika sejarah mengajar kita sesuatu, empayar yang terlalu tamak akhirnya akan runtuh kerana beban sendiri,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
