Masyarakat antarabangsa digesa bantah cadangan Trump duduki Gaza - ABIM

SHAH ALAM - Masyarakat antarabangsa digesa menolak dan membantah cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menduduki Gaza serta mengusir warganya secara kekal ke negara lain.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, tindakan itu jelas mencerminkan sikap AS yang tidak menghormati hak asasi manusia dan kedaulatan sesebuah negara.
“Usul ini juga menunjukkan kecenderungan kepimpinan AS untuk bertindak secara semberono dalam politik antarabangsa.
“Tidak mustahil tindakan ala koboi itu boleh dilakukan terhadap mana-mana negara sekiranya cadangan terhadap Gaza diteruskan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Trump pada awal Rabu berikrar, AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza selepas rakyat Palestin dipindahkan keluar ke negara lain.
Trump mendedahkan rancangannya tanpa memberikan butiran terperinci, pada satu sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di White House, Washington.
Ujar Ahmad Fahmi, saranan itu juga merupakan satu lagi bukti bahawa pentadbiran AS, khususnya di bawah kepimpinan Trump sebelum ini, cenderung bertindak sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira kesan global.
Menurutnya, ia seperti mana disaksikan dalam keputusan mereka menarik diri daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan menghentikan bantuan kemanusiaan melalui Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Timur Dekat (UNRWA).
“Tidak mustahil, AS akan terus bertindak secara unilateral terhadap negara lain secara unilateral, sebagaimana yang telah dilakukan sebelum ini melalui tindakan menaikkan tarif terhadap Kanada dan Mexico.
“ABIM menyeru semua masyarakat antarabangsa untuk bersatu dalam menolak sebarang bentuk tindakan yang ingin dilakukan seperti ini kerana ia berada di luar jangkauan manusia yang waras,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

