Sewa 28 helikopter bersandarkan keperluan, teratur - Khaled

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan menjelaskan bahawa perolehan menggunakan pendekatan sewaan bagi perkhidmatan 28 helikopter kepada pelbagai agensi kerajaan adalah teratur dan bersandarkan keperluan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kelebihan pendekatan ini sudah beliau hujahkan ketika sesi penggulungan Belanjawan 2025 (Peringkat Dasar) yang lalu dan oleh Perdana Menteri semasa menjawab pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pada 28 November 2024.
"Walau bagaimanapun, perkara tersebut akan turut diulas dan dijawab sekali lagi oleh saya semasa sesi penggulungan kementerian bagi perbahasan kali ini yang dijadualkan pada 20 Februari," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Pada Selesa, media melaporkan kerajaan dituntut memberi penjelasan berhubung kos pajakan 28 unit helikopter menerusi kontrak bernilai RM16 bilion bagi tempoh 15 tahun untuk pasukan keselamatan negara.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, jumlah tersebut dilihat amat besar berbanding pembelian 32 buah helikopter jenis sama yang dibuat Poland.
Sebelum ini Mohamed Khaled menerusi ucapan penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 memaklumkan, sebanyak 28 helikopter akan disewa kerajaan menerusi kontrak bernilai RM16 bilion bagi tempoh 15 tahun.
Beliau dipetik berkata, pajakan helikopter itu dibuat untuk beberapa agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan 12 buah akan digunakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM); Polis Diraja Malaysia (PDRM) (7); Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) (2); Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) (2) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) (4).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
