Pembangkang tuntut penjelasan kos sewa 28 helikopter
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan dituntut memberi penjelasan berhubung kos pajakan 28 unit helikopter menerusi kontrak bernilai RM16 bilion bagi tempoh 15 tahun untuk pasukan keselamatan negara.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, jumlah tersebut dilihat amat besar berbanding pembelian 32 buah helikopter jenis sama yang dibuat Poland.
"Kenapa kerajaan membuat polisi menyewa helikopter dengan begitu tinggi harganya, sedangkan syarikat yang mendapat (kontrak) itu masa saya menjadi Menteri Dalam Negeri, mereka mohon untuk buat polisi, kontrak yang sama.
"Saya serahkan kepada pegawai kerajaan dan mereka buat siasatan, kajian dan bawa kepada saya (keputusan) kata ia tidak baik untuk guna polisi tersebut.
"Lebih baik kita membeli dan bagi kontrak MRO (penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih) kepada pengusaha dalam negeri, memberi ruang pekerjaan yang banyak menjadi perkara yang diambil kira dan saya menolaknya," katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Sebelum ini Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi ucapan penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 memaklumkan, sebanyak 28 helikopter akan disewa kerajaan menerusi kontrak bernilai RM16 bilion bagi tempoh 15 tahun.
Menurutnya, pajakan helikopter itu dibuat untuk beberapa agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan 12 buah akan digunakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM); Polis Diraja Malaysia (PDRM) (7); Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) (2); Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) (2) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) (4).
Dalam pada itu Hamzah mengingatkan agar 'pisang tidak berbuah dua kali' selepas isu pembinaan aset pertahanan negara iaitu kapal tempur pesisir (LCS) terpalit kontroversi.
"Poland beli helikopter yang sama AW139 sebanyak 32 buah siap dengan pakej pasang dalam negara mereka sendiri, baru berjumlah AS$2 bilion tapi mengapa kos sewaan kita sampai RM16.6 bilion?
"Sepatutnya, faktor persamaan, harga dan kualiti tempur menjadi pertimbangan utama kerajaan dalam melaksanakan perolehan sesuatu aset ketenteraan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
