'Beri peluang warga universiti undi Naib Canselor mereka sendiri' - Muzaffar Syah

SHAH ALAM - Warga universiti awam khususnya ahli akademik patut diberikan ruang dan peluang memilih mana-mana individu yang difikirkan sesuai memegang jawatan Naib Canselor atau rektor universiti masing-masing melalui proses undian.
Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, kedua-duanya merupakan jawatan paling penting kerana individu tersebut yang menentukan hala tuju sesebuah universiti.
Menurutnya, individu berkelayakan dalam universiti boleh menawarkan diri sebagai calon naib canselor atau rektor dan proses debat kemudiannya dilaksanakan bagi memudahkan pengundi mengenalpasti mana-mana yang sesuai diberi undi.
Justeru, jelas beliau, kerajaan boleh mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji cadangan terbabit dengan lebih teliti.
"Dengan adanya proses undian, ini dapat memastikan individu yang dipilih menjalankan tugas dengan lebih baik.
"Individu yang dipilih melalui kaedah undian juga akan lebih dihormati warga universiti mereka sendiri. Proses demokrasi dapat disemai dalam kampus sekali gus meningkatkan tahap keyakinan orang ramai terhadap universiti.
"Cadangan proses pengundian jawatan naib canselor dan rektor universiti perlu dilakukan terhadap timbalan mereka juga. Setiap saranan dikemukakan ada kekuatan dan kelemahannya yang tersendiri," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata demikian susulan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa pada Ahad.
Muzaffar Syah berpandangan, individu yang dilantik memegang jawatan berkenaan mesti layak dan bersungguh-sungguh untuk membawa universiti ke arah kecemerlangan.
"Berdasarkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 (Akta 30), naib canselor hendaklah menjadi ketua pegawai eksekutif dan bertanggungjawab bagi keseluruhan fungsi pentadbiran, akademik, pengurusan serta hal ehwal universiti.
"Selain itu, mesti menjalankan pengawasan am ke atas semua aktiviti pengajaran, penyelidikan, kewangan, pentadbiran, kebajikan dan aspek tata tertib universiti serta boleh menjalankan apa-apa kuasa lain sebagaimana diberikan kepadanya.
"Bagi proses lantikan naib canselor menurut Seksyen 4A (Akta 30), menteri mempunyai kuasa untuk memilih orang yang layak dan hendaklah dari masa ke masa melantik satu jawatankuasa untuk menasihatinya mengenai pelantikan itu," ujarnya.
Tambah Muzaffar Syah lagi, terdapat beberapa proses saringan dan temuduga dilakukan sebelum seseorang dilantik sebagai naib canselor atau rektor universiti.
"Terdapat juga beberapa syarat atau kriteria ditetapkan oleh pihak kementerian dan universiti sebelum seseorang itu dilantik," kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

