Polis kesan pemilik blog terlibat kes fitnah bekas Naib Canselor UKM

GOMBAK - Polis mengesan pemilik blog yang dipercayai memuat naik kandungan didakwa berunsur fitnah dan tohmahan yang dilontarkan terhadap bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pemilik blog terbabit sedang dikesan untuk siasatan lanjut berhubung kes ini.
"Sebelum ini polis telah menerima dua laporan berhubung kes ini dan beberapa individu telah dirakam keterangan, selain itu kita turut menunggu masa sesuai untuk merakam keterangan bekas Naib Canselor berkenaan.
"Tindakan susulan adalah kita sedang mengesan pemilik blog yang terbabit memuat naik kandungan yang didakwa fitnah dan tohmahan itu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Ops Palu sempena Thaipusam di Batu Caves pada Khamis.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan polis menerima laporan daripada Mohd Ekhwan berhubung dakwaan fitnah dan tohmahan yang dilontarkan kepadanya.
Hussein berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Mohd Ekhwan beberapa hari lepas.
Zambry berkata, pihaknya menerima peletakan jawatan itu kerana Mohd Ekhwan memberikan sebab mahu menumpukan perhatian terhadap perkara lain.
Terdahulu, Mohd Ekhwan mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Naib Canselor UKM berkuat kuasa pada Ahad.
Beliau juga memaklumkan sudah membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung segala fitnah serta tohmahan yang dilontarkan kepadanya.
Sebelum ini, ada pihak yang mendakwa hasil audit universiti tersebut menunjukkan berlaku salah guna kuasa dan penyelewengan serta tidak mematuhi proses perolehan yang mengaitkan nama Mohd Ekhwan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!