Dua direkod keterangan dakwaan kes fitnah bekas Naib Canselor UKM - Polis

SHAH ALAM - Polis telah merakam keterangan dua individu untuk membantu siasatan kes dakwaan fitnah membabitkan bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sebelum ini menerima dua laporan polis daripada Timbalan Naib Canselor UKM (Hal Ehwal Pelajar) serta Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Penyelidikan.
"Kita telah merakam keterangan dua pengadu terbabit berkenaan kes itu dan akan memanggil beberapa individu lain bagi membantu siasatan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya pada Rabu.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Mohd Ekhwan beberapa hari lepas.
Zambry dilaporkan berkata, pihaknya menerima peletakan jawatan itu kerana Mohd Ekhwan memberikan sebab mahu menumpukan perhatian terhadap perkara lain.
Terdahulu, Mohd Ekhwan dalam satu mesej yang dihantar memaklumkan ucapan terima kasih atas segala fitnah dan tohmahan yang dilontarkan di mana laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah pun dibuat.
Beliau mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Canselor UKM berkuat kuasa Ahad lalu.
Sebelum ini, ada pihak yang mendakwa hasil audit universiti tersebut menunjukkan ada salah guna kuasa dan penyelewengan serta tidak mematuhi proses perolehan yang mengaitkan nama Mohd Ekhwan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
