ABIM gesa kerajaan kaji semula perubahan kadar tarif elektrik

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengkaji semula perubahan kadar baru tarif elektrik yang dilapor akan dikuatkuasakan pada pertengahan tahun ini.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, sebarang perubahan yang berlaku akan menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat yang sedang berusaha memenuhi keperluan asas di sebalik tekanan akibat kos sara hidup semakin meningkat.
Sedangkan katanya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dilaporkan telah mencatatkan peningkatan keuntungan bersih terkumpul RM 3.74 bilion pada suku ketiga 2024, yang dilaporkan antaranya adalah hasil daripada jualan tenaga elektrik lebih tinggi.
“Kerajaan menerusi sesi di Dewan Rakyat pada Selasa ada memaklumkan kenaikan ini hanya membabitkan sektor industri secara khusus tetapi ia akan memberikan kesan berangkai kepada pengguna secara keseluruhannya.
“Ini berdasarkan apa yang berlaku sebelum ini, apabila kos kenaikan membabitkan petrol dan elektrik akan ditanggung secara tidak langsung oleh rakyat.
“Dalam erti kata lain, rakyat tetap akan merasai kesan kenaikan itu secara langsung walaupun dilaporkan kadar tarif untuk 85 peratus rakyat tidak terjejas. Begitu dengan sektor-sektor lain khususnya pelancongan kerana ia dijangka akan mempengaruhi kos operasi sehingga mempengaruhi kadar bayaran untuk penginapan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin memaklumkan bahawa kerajaan memberi jaminan kepada para pemain industri bahawa sebarang kenaikan tarif elektrik pada separuh kedua tahun ini tidak akan membebankan atau merugikan komuniti perniagaan.
Beliau turut menegaskan bahawa isi rumah berpendapatan rendah akan terus tidak terjejas oleh semakan tarif yang dijadualkan nanti.
Tambah Ahmad Fahmi, apa yang membimbangkan ialah kemungkinan pelaksanaan subsidi bersasar untuk petrol yang dilaporkan akan dilaksanakan pada masa yang sama.
“ABIM menilai ia berpotensi mencetuskan kesan berganda kepada rakyat.
"Dalam erti kata lain, mana-mana pihak tidak perlu ada sebarang tanggapan bahawa rakyat inginkan perkhidmatan percuma seperti elektrik kerana realitinya mereka masih membuat bayaran untuk mendapatkan aksesnya.
“Justeru dengan merujuk pada prinsip kesejahteraan dan ihsan yang menjadi asas kepada gagasan Malaysia Madani, ABIM menggesa agar perubahan tarif ini dikaji secara mendalam dan tuntas kerana sebarang kenaikan terbukti akan memberi kesan berantai kepada kehidupan rakyat,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

