Tarif elektrik: Rakyat tarik nafas lega, terima kasih PMX

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

PERUBAHAN tarif elektrik pada Julai nanti bukan suatu perkara yang mengejutkan kerana ramai yang sudah menjangkakan ia bakal berlaku berikutan peningkatan kos bahan api.

Mengikut undang-undang negara, tarif elektrik boleh disemak setiap enam bulan melalui mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT).

Dalam perkembangan terbaharu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan 85 peratus rakyat di negara ini tidak akan terkesan dengan kenaikan tarif elektrik.

Anwar turut memberi jaminan bahawa sektor industri tidak akan dibebankan dengan kenaikan yang tinggi melebihi 14 peratus. Langkah tersebut bagi memastikan keseimbangan antara menjaga kebajikan rakyat dan kelangsungan perniagaan.

Oleh itu kita perlu sedar bahawa perubahan tarif elektrik merupakan sebahagian daripada realiti ekonomi yang dihadapi semua negara.

Sejarah tarif elektrik di Malaysia menunjukkan sektor tenaga negara telah melalui pelbagai perubahan sejak penstrukturan semula pada 1997 dengan memperkenalkan pelbagai mekanisme pengurusan tarif termasuk ICPT.

Setiap kali semakan dibuat, ia memberikan peluang kepada pengguna untuk merancang dan menyesuaikan penggunaan elektrik di rumah, terutama ketika ekonomi yang lebih mencabar.

Kerajaan sudah memberikan jaminan untuk mengurangkan beban maka kita juga perlu mengambil tanggungjawab memastikan penggunaan tenaga lebih efisien di rumah masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Kita kini hidup dalam dunia digital dengan kebergantungan kepada peralatan elektronik yang menggunakan tenaga lebih tinggi. Tanpa kita sedari, pembaziran tenaga mudah berlaku di rumah akibat sikap malas untuk mematikan suis lampu, televisyen dan pendingin hawa selepas digunakan.

Malah masih ramai antara kita yang keluar rumah tanpa mempedulikan keperluan menutup suis atau mencabut plag peralatan elektrik.

Salah satu punca utama pembaziran tenaga ialah membiarkan peralatan elektronik dalam mode standby, di mana peralatan tersebut sebenarnya tetap menggunakan arus elektrik. Meskipun arusnya kecil namun jika dibiarkan berlaku setiap hari, kesannya dapat dilihat pada bil elektrik yang meningkat.

Jangan tunggu sehingga bil elektrik mencecah angka yang tinggi baru terfikir untuk berjimat.

Langkah kecil yang kita ambil hari ini boleh memberi kesan besar kepada pengurusan kewangan dan keselesaan dalam jangka panjang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!