'Dakwaan Bersatu ugut keluar PH adalah fitnah'

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
A
A
A

POKOK SENA - Dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengugut untuk keluar daripada Pakatan Harapan (PH) sekiranya Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP terus mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung peralihan kuasa adalah fitnah.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tiada mana-mana pimpinan dari Bersatu memberi amaran itu dalam mesyuarat Majlis Presiden PH yang berlangsung malam tadi.

“Yang ada cuma perbincangan hangat, sebahagian bersetuju atau tidak bersetuju dengan pandangan dikemukakan. Ugutan untuk keluar pakatan itu fitnah, tak betul.

Perbincangan dibuat melalui saluran demokrasi, selain semua pihak berikan pelbagai pandangan, namun akhirnya diselesaikan melalui saluran betul,” katanya selepas hadir program rapat umum Armada Bersatu Pokok Sena di Dewan Kampung Baru di sini hari ini.

Menteri Belia dan Sukan itu turut menggesa agar Majlis Presiden PH menyiasat dalang yang menyebarkan fitnah berkenaan kerana boleh menjejaskan permuafakatan PH.

“Itulah situasi demokrasi dalam mesyuarat tertutup semalam (kelmarin). Pihak yang sebar fitnah ini perlu disiasat, apa motif keluarkan fitnah itu kepada media,” katanya.

Syed Saddiq berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah portal berita semalam.

Laporan itu mendakwa dua sumber rapat dengan pemimpin dalam mesyuarat terbabit berkata bahawa Amanah tidak gentar dengan amaran pemimpin Bersatu yang mengugut keluar daripada gabungan itu sekiranya mereka terus mendesak Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Sumber itu juga mendakwa, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dikatakan tiada masalah sekiranya mereka kembali menjadi pembangkang jika gabungan itu berpecah.