Ramasamy keluar DAP, letak semua jawatan

Ramasamy menunjukkan surat yang diserahkan kepada Anthony Loke pada sidang media pada Khamis.
Ramasamy menunjukkan surat yang diserahkan kepada Anthony Loke pada sidang media pada Khamis.
A
A
A

PERAI - [DIKEMAS KINI] Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, P Ramasamy mengumumkan keluar parti DAP pada pagi Khamis.

Ramasamy berkata, beliau turut meletakkan semua jawatannya dalam parti itu berkuat kuasa Khamis.

Beliau berkata, telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai ahli DAP dan Pengerusi DAP Cawangan Chai Leng Park kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook pada jam 8.24 pagi.

Selain itu, beliau turut menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang kepada Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

"Setelah berbincang dengan ahli keluarga, rakan terdekat dan orang tertentu, saya mengumumkan keluar parti dan meletakkan semua jawatan dalam DAP.

"Ia keputusan paling sukar buat saya setelah 18 tahun penglibatan dalam politik sejak 2005.

Saya mula melibatkan diri dengan DAP sejak saya berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum saya menyertai DAP," katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai di sini pada Khamis.

Katanya, alasan beliau mengambil keputusan meninggalkan DAP adalah kerana parti itu tidak menghargai perbezaan pendapat selain tiada sikap keterbukaan daripada dalaman parti.

Artikel Berkaitan:

"Mereka yang bersuara menentang kerajaan dipandang sebagai pengacau dan pengganggu.

Beberapa bulan lalu, kepimpinan parti menjauhkan diri daripada kenyataan saya apabila membangkitkan isu kurangnya penyertaan kaum bukan Melayu dalam perkhidmatan awam negara.

"Lebih mengecewakan, kenyataan saya dianggap sebagai memudaratkan Kerajaan Perpaduan yang baru ditubuhkan," katanya.

Jelasnya selain itu, beliau meninggalkan DAP kerana tidak berpuas hati dengan cara parti membuat keputusan yang menggugurkan beberapa nama pemimpin muda.

"Saya tidak kecewa tetapi caramereka buat itu tak kena.

Saya terima hakikat (tidak dicalonkan), tetapi mereka beri hujah yang tidak ada kena mengena.

"Ini lebih kepada 'political purge' (pembersihan politik).

Sebab itu saya tidak berpuas hati, bukannya kecewa tidak dicalonkan.

Hujah parti mengatakan mahu memberi peluang kepada muka baru untuk berkhidmat kepada rakyat, mengapa gugurkan pemimpin muda yang bagus seperti Yeoh Soon Hin, Soon Lip Chee dan M Satees?

"Saya mungkin dipanggil sebagai anggur masam kerana keluar dari DAP tetapi saya tiada pilihan lain selain mengambil keputusan mutlak untuk melakarkan haluan politik saya pada masa hadapan," katanya.

Ramasamy yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri II berkata, kepimpinan parti di peringkat kebangsaan didakwa telah bergantung kepada seorang individu yang digelar maharaja.

"Individu yang terkenal bergelar maharaja adalah punca kepada krisis yang sedang berlaku dalam DAP Pulau Pinang.

Senarai calon yang dikemukakan Kon Yeow selaku Ketua Jawatankuasa Negeri dengan lima keahlian telah diketepikan.

"Terdapat beberapa pemimpin baik dalam DAP tetapi kemerosotan ke arah politik yang kurang bermutu dan sikap akur kepada kepimpinan tertinggi nampaknya tidak dapat dielakkan.

"Tidak hairan lah DAP disifatkan sebagai parti yang mengambil haluan seperti MCA dan MIC.

Kita dapat melihat bahawa sesetengah pemimpin parti seolah-olah hanya mengutamakan kuasa dan jawatan yang disandang," katanya.

Tambahnya, beliau belum merancang untuk menyertai mana-mana parti selepas ini sebaliknya ingin menumpukan perhatian kepada penulisan buku.

"Mungkin saya akan berperanan di peringkat nasional (politik) namun belum tentu lagi dalam bentuk apa.

Bagaimanapun, saya akan terus menyokong calon Bebas di kerusi Perai, David Marshel dan M Satees di kerusi Bagan Dalam," katanya.

Selain Ramasamy dalam sidang akhbar sama, bekas ADUN Sabai, D Kamache, Naib Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY,) K Jason Raj dan ahli Cawangan DAP Taman Inderawasih, K Krishnasamy turut mengumumkan tindakan keluar parti tersebut.

Jason berkata, tindakan beberapa pemimpin tertinggi DAP yang gila kuasa menyebabkan beliau tekad untuk meninggalkan parti berkenaan.

"Saya keluar daripada DAP adalah kerana prinsip parti ketika ini sudah tidak sama kerana ada beberapa pemimpin yang gila kuasa demi menyelamatkan diri sendiri.

"Apa guna berada di dalam parti yang kononnya demokrasi tetapi kami di akar umbi, tidak dapat bersuara malah suara kami langsung tidak diendahkan.

Oleh itu, lebih baik saya tinggalkan parti ini," katanya.

Sebelum ini, Anthony Loke mengumumkan lima Exco Kerajaan Pulau Pinang dari DAP digugurkan daripada senarai calon untuk bertanding dalam PRN ini.

Mereka adalah Exco Alam Sekitar dan Kebajikan Masyarakat, Phee Boon Poh; Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee, Exco Pelancongan dan Industri Kreatif, Yeoh Soon Hin dan termasuk Ramasamy, yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Pendidikan, Sains dan Teknologi.

ARTIKEL BERKAITAN:

Ramasamy 'tunggang DAP' demi jawatan - Anthony

Kon Yeow minta Ramasamy pertimbang keputusan

Anwar harap Ramasamy masih dapat bantu kerajaan