'Bersatu Kelantan kekal utuh, negeri tunggal tanpa pembubaran bahagian' - Kamarudin

KOTA BHARU – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan menegaskan kedudukan parti itu di negeri ini kekal utuh dan stabil apabila tiada satu pun bahagian dibubarkan atau berlaku peletakan jawatan secara beramai-ramai setakat ini.
Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor, berkata pihaknya sentiasa melakukan pemantauan rapi terhadap situasi itu bagi memastikan tiada sebarang pergerakan keluar parti berlaku di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, situasi di Kelantan berbeza dengan perkembangan yang dilaporkan berlaku di beberapa negeri lain.
“Setakat ini, Kelantan masih kosong, belum ada bahagian atau kumpulan yang mengumumkan pembubaran atau peletakan jawatan beramai-ramai seperti yang kita dengar dan baca berlaku di Johor, Perak dan Selangor,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Peluncuran Bulan Emas Kelantan 2026 di sini pada Rabu malam.
Beliau menegaskan bahawa Bersatu Kelantan berada dalam keadaan bersiap siaga dan telah menyediakan pasukan pengganti bagi memastikan kelangsungan kepimpinan parti di setiap peringkat sekiranya berlaku sebarang perubahan.
“Kalau ada mana-mana yang letak jawatan, kita sudah ada orang untuk ganti. Contohnya, jika ketua bahagian letak jawatan, timbalan akan ambil alih. Kalau timbalan pula, naib akan ganti. Tiada masalah dari segi kesinambungan organisasi,” katanya.
Menurut Kamarudin lagi, dalam suasana Bersatu Kelantan yang masih utuh, stabil dan terkawal, pihaknya tidak menggalakkan pembubaran, sebaliknya mahu terus memperkukuh organisasi parti.
Beliau turut menegaskan bahawa kesiapsiagaan parti itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan kestabilan struktur organisasi terus terpelihara dalam apa jua keadaan.
“Kita tidak kata ada, tetapi kalau ada berlaku, kita memang sudah bersedia. Bersatu Kelantan berada dalam keadaan bersiap siaga,” katanya.
Ringkasan AI
- Bersatu Kelantan kekal utuh dan stabil tanpa pembubaran atau peletakan jawatan beramai-ramai
- Pemantauan rapi dilakukan untuk mengelak pergerakan keluar parti
- Situasi di Kelantan berbeza dengan negeri lain yang mengalami pembubaran atau peletakan jawatan beramai-ramai
- Pasukan pengganti disediakan untuk memastikan kelangsungan kepimpinan
- Bersatu Kelantan bersiap siaga untuk menghadapi sebarang situasi demi kestabilan organisasi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


