MKT UMNO setuju Pemilihan UMNO ditangguh sehingga selepas PRU16

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara bersetuju untuk menangguhkan Pemilihan UMNO yang dijadualkan pada tahun ini ke tarikh baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan terbabit selaras dengan peruntukan Perlembagaan UMNO di bawah Fasal 10.16, Fasal 10.6.1 dan Fasal 10.6.2.

Beliau berkata, penangguhan itu bagi memastikan seluruh jentera parti di semua peringkat dipersiapkan untuk menghadapi kemungkinan pilihan raya negeri (PRN) dan PRU16 yang boleh diadakan pada bila-bila masa bermula tahun ini.

"Tarikh-tarikh bagi Persidangan Tahunan Cawangan-Cawangan adalah pada 1 April hingga 17 Mei 2026, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian bermula 1 Jun hingga 12 Julai 2026 dan Perhimpunan Agung UMNO antara 12 Ogos hingga 16 Ogos 2026.

"Mesyuarat sebulat suara bersetuju untuk menangguhkan Pemilihan UMNO yang dijadualkan pada tahun ini kepada tarikh tidak boleh melebihi enam bulan selepas PRU16," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Tambah Asyraf Wajdi, UMNO Malaysia juga bakal menganjurkan Kongres Pendidikan Bumiputera pada 1 Mei 2026 sempena sambutan Ulang Tahun UMNO ke-80 pada tahun ini.

Menurut beliau, Konvensyen UMNO yang akan diadakan pada 2 Mei 2026 bertempat di Dewan Merdeka, World Trade Centre pula sebagai acara kemuncak sambutan bersejarah tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Mesyuarat MKT UMNO bersetuju menangguhkan Pemilihan UMNO ke tarikh baharu selepas PRU16
  • Penangguhan selaras dengan peruntukan Perlembagaan UMNO
  • Penangguhan untuk memastikan jentera parti bersiap sedia menghadapi PRN dan PRU16
  • Persidangan Tahunan Cawangan dan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian serta Perhimpunan Agung UMNO dijadualkan antara April dan Ogos 2026
  • UMNO akan menganjurkan Kongres Pendidikan Bumiputera dan Konvensyen UMNO pada Mei 2026

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!