Dua suspek kes bunuh polis Thailand mungkin tidak berada di Malaysia - KPN

PETALING JAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) percaya dua suspek kes bunuh pegawai polis Thailand di Narathiwat berkemungkinan tidak berada di negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak termasuk Polis Thailand berkenaan kes tersebut.
“Kita bertindak (siasat) berdasarkan laporan berita yang dilaporkan media kerana tidak mahu penjenayah dari sana (Thailand) masuk ke sini.
“Kemungkinan kedua-dua mereka tidak berada di negara ini,” katanya kepada pemberita di Majlis Apresiasi Op Selamat 23 di Persada PLUS di sini pada Selasa.
Razarudin berkata, pihaknya sentiasa memperkatatkan kawalan keselamatan di pintu sempadan serta jalan-jalan tikus berhampiran Sungai Golok, Kelantan terutama bagi menangani isu ketirisan barangan kawalan daripada diseludup masuk dan keluar.
Jelasnya, sehingga kini rampasan di Sungai Golok yang dibuat dianggarkan RM400,000 yang dilaksanakan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA), Biro Jenayah Hidupan Liar (WCB) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).
Pada 24 Januari lalu, media melaporkan, PDRM dalam keadaan waspada berikutan dua suspek kes bunuh seorang pegawai polis berkemungkinan melarikan diri ke negara ini.
Suspek dikenali sebagai Abdullah Samok, 30, dan Abdullah Bulat, 40, masing-masing berasal dari daerah Chanae dan Rueso di Thailand.
Kejadian dilaporkan berlaku pada 14 Januari lalu membabitkan suspek yang dikatakan mempunyai 14 waran tangkap pelbagai kesalahan berkaitan isu keselamatan.
Dalam kejadian itu, mangsa, Leftenan Kolonel Suwit Chuaythewarit, 56, dan anaknya, Senior Sarjan Mejar, Dome Chuaythewarit, 35, maut dalam satu serangan hendap di Narathiwat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
