Polis Johor berkas dua suspek kes bunuh warga emas

Balveer
Balveer
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor memberkas dua suspek yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang wanita di Taman Sri Skudai di sini dalam tempoh 24 jam selepas laporan diterima.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, tangkapan tersebut dibuat setelah hasil soal siasat yang dijalankan ke atas waris mangsa meragukan.

"Susulan daripada itu, polis menahan seorang lelaki dan wanita warga tempatan masing-masing berusia 51 serta 58 tahun untuk membantu siasatan.

"Beberapa barangan turut dirampas seperti dua telefon bimbit berserta sim kad, pakaian suspek dan dua cebisan resit pajak gadai," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, Polis Johor menerima satu laporan berkenaan seorang wanita tidak sedarkan diri dalam rumah di Taman Sri Skudai, Skudai di sini.

Ujarnya, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati seorang wanita warga tempatan berusia 79 tahun ditemui dalam keadaan terbaring di ruang tamu dan diselubungi kain batik.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati beberapa barang milik mangsa hilang dan pemeriksaan oleh pihak perubatan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

"Siasatan lanjut mendapati terdapat unsur jenayah yang menyebabkan kematian. Semakan rekod jenayah juga menunjukkan seorang suspek mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah dan seorang lagi tidak mempunyai rekod lampau.

"Kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Johor Bahru dan direman selama tujuh hari bermula 6 hingga 12 Februari 2025.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!