Menunggu laporan kerajaan mengenai kartel beras

JUMAAT lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan wujudnya kartel yang menukar bungkusan beras tempatan kepada beras import menyebabkan ketiadaan bekalan beras tersebut di pasaran.
Ketika menyampaikan ceramah pada majlis Himpunan Ummah Selamatkan Malaysia di Kompleks Pas Kedah, Muhammad Sanusi berkata, beliau sering kali mendedahkan mengenai isu tersebut namun dinafikan oleh kerajaan.
Dakwa beliau, perkara tersebut bukan lagi satu rahsia, malah diketahui oleh rakyat terutama dalam kalangan penanam padi dan mahu perkara tersebut dapat diselesaikan.
Untuk rekod, pada 6 November tahun lalu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat menyatakan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sudah menyiapkan laporan kajian mengenai kartel padi dan beras.
Jelas beliau, dapatan laporan itu kemungkinan mendedahkan penyalahgunaan dominan mana-mana syarikat yang terbabit memonopoli bekalan berkenaan.
Ia kemudian disusuli kenyataan pada 14 Disember, apabila Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata, kajian mengenai kartel padi dan beras akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim awal tahun ini.
Pada pandangan akhbar ini, masalah ketiadaan beras tempatan sudah berlarutan agak lama dan terus menjadi isu dimainkan pembangkang. Beras tempatan memang dekat dihati rakyat kerana harganya murah dan menjadi pilihan golongan berpendapatan rendah serta peniaga.
Jadi, tidak seharusnya kerajaan mengambil masa lama untuk mendedahkan kepada rakyat apa sebenarnya berlaku dalam industri padi dan beras negara itu.
Selain permainan kartel, adakah kemungkinan permintaan tinggi daripada peniaga kedai makan sehingga rakyat tidak dapat beli beras tempatan? Atau adakah penanaman padi di negara ini sudah mengalami kemerosotan kerana ia bukan lagi sektor menguntungkan?
Ada banyak persoalan yang berlegar-legar mengenai perkara tersebut dan perlu diberikan jawapan segera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
