Duduk semeja selesai isu pesawah
MOHD FAIZUL HAIKA MAT KHAZI

RAYUAN Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) supaya kerajaan meningkatkan harga lantai belian padi kepada RM1800 setan berbanding RM1,500 setan ketika ini tidak wajar dipertikai.
Sebenarnya permintaan golongan petani berkenaan wajar berikutan kenaikan harga input pertanian seperti baja, racun serangga dan haiwan perosak selain upah membajak sawah, menuai padi serta kos buruh semasa.
Itu belum lagi kerugian dialami mereka akibat banjir, serangan tikus, ulat, siput gondang emas, padi angin, rumput dan penyakit karah.
Kenaikan tersebut selari dengan harga semasa beras tempatan dan import di pasaran.
Ia juga memberi suntikan motivasi dan ganjaran kepada petani yang sentiasa berusaha keras untuk memastikan keselamatan makanan negara terjamin.
Jadi, tidak adil jika ada pihak menyatakan penanam padi jangan terlalu mengharapkan kepada bantuan kerajaan sahaja tanpa berusaha meningkatkan produktiviti.
Ini kerana tidak ada seorang petani mahu rugi dan enggan meningkatkan pengeluaran untuk meraih keuntungan selepas berpenat lelah serta berbelanja ribuan ringgit setiap musim

Justeru, pihak berkepentingan seperti LPP, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Pesawah perlu duduk semeja bagi menyelesaikan isu tuntutan terbabit untuk mewujudkan situasi menang-menang, bukannya saling menuding jari.
Ini kerana jika masalah berkenaan berterusan maka tidak mustahil ramai petani terutama golongan muda dan berkelulusan tinggi akan tawar hati untuk meneruskan pekerjaan tradisi keluarga mereka, pada masa depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
