Seleweng beras tempatan: Kerajaan digesa tubuh jawatankuasa khas

Noh
Noh
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan digesa menubuhkan jawatankuasa khas memantau operasi kilang padi di seluruh negara bagi memastikan tiada penyelewengan berlaku terhadap bekalan beras putih tempatan.

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (kini Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan), Tan Sri Noh Omar berkata, langkah itu penting untuk memastikan beras tempatan tidak 'ditukar' kepada beras import yang hanya menguntungkan pihak pengilang.

"Kerajaan perlu turun padang dan melakukan pemeriksaan mengejut ke atas kilang-kilang yang membeli padi," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Ahad.

Menurut Noh, jawatankuasa khas yang ditubuhkan itu juga boleh dilakukan dengan kerjasama beberapa kementerian lain bagi membenteras aktiviti penyelewengan pihak pengilang padi.

"Siasatan perlu dijalankan terhadap mana-mana kilang padi yang menukar beras tempatan kepada beras import.

"Kerajaan tentunya mempunyai rekod mengenai kilang-kilang tersebut, justeru tindakan penguatkuasaan perlu diambil segera," tegas beliau.

Noh memberitahu, negara memerlukan kira-kira 13.75 juta tan keperluan beras setiap bulan, namun isu harga beras gagal ditangani sehingga kini.

"Harga beras tempatan yang sepatutnya dijual pada harga RM26 ketika ini dijual pada harga lebih tinggi mencapai RM38 setiap 10kg (kilogram), setanding dengan harga beras import.

Artikel Berkaitan:

"Ini memberikan keuntungan besar kepada pengilang yang boleh meraih keuntungan hampir RM165 juta sebulan," ujar beliau.

Justeru, katanya, tindakan penguatkuasaan seperti menghentikan lesen belian padi perlu dilakukan segera bagi memastikan kilang padi tidak menukar beras tempatan kepada beras import.

"Jika kilang-kilang ini gagal memenuhi kuota pengeluaran beras tempatan, mereka perlu diawasi dengan lebih ketat," ujarnya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan kerajaan menetapkan harga siling belian padi pada harga lebih tinggi bagi mengurangkan beban pesawah.

"Kita semua tahu, kos input pertanian semakin meningkat, manakala harga padi yang rendah menyebabkan pesawah semakin tertekan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!