X

Kindly register in order to view this article
!

Bas jadi tandas awam wanita di India

Tandas berwarna merah jambu itu dikhaskan untuk golongan wanita yang juga boleh digunakan untuk menyusukan anak mereka. - FOTO: AFP
A
A

PUNE - Golongan wanita di India menganggap tandas awam yang bersih sebagai kemudahan 'berharga' kepada mereka.

Bagi pelajar kolej, Suvarna Dongare, dia amat terkejut selepas melihat tandas wanita berwarna merah jambu kini disediakan di sebuah taman awam di barat India, salah satu daripada beberapa kemudahan yang terdapat di bandar Pune.

"Tandas itu sangat selesa dan saya rasa selamat untuk menggunakannya," kata Dongare, 18.

Perkhidmatan tersebut hanya mengenakan bayaran 5 Rupee (30 sen) kepada mana-mana wanita dan bukan hanya untuk melepaskan 'hajat' malah untuk golongan ibu yang mahu menyusukan bayi mereka atau membeli tuala wanita.

Projek Ti Toilet, bas yang diubah menjadi tandas dan dilancarkan pada 2016 itu adalah hasil cetusan idea Ulka Sadalkar dan Rajeev Kheer.

Seorang pembantu membersihkan tandas mudah alih di taman awam di Pune. - FOTO: AFP
Seorang pembantu membersihkan tandas mudah alih di taman awam di Pune. - FOTO: AFP

Ia dilengkapi 12 tandas mudah alih dan secara purata digunakan lebih 200 wanita pada setiap hari.

Bas tersebut juga menggunakan tenaga solar sebagai sumber kuasa.

Menurut Sadalkar, mereka menjalankan perniagaan sanitasi mudah alih itu sebagai sebahagian daripada projek untuk meningkatkan kebersihan di bandar terbabit.

"Kami percaya golongan wanita berhak mendapat tandas yang bersih dan selamat kerana ia adalah hak asas mereka," katanya sambil menambah mereka merancang untuk membuka 1,000 tandas yang turut dilengkapi set TV dan monitor suhu di seluruh India dalam tempoh lima tahun akan datang.

Projek Ti Toilet dilengkapi 11 tandas mudah alih tersebut dilancarkan pada 2016. - FOTO: AFP
Projek Ti Toilet dilengkapi 11 tandas mudah alih tersebut dilancarkan pada 2016. - FOTO: AFP

Sementara itu, Manisha Adhav, 40, yang mengendalikan salah satu daripada tandas tersebut berkata, beliau sangat berbangga kerana dapat melakukan sesuatu untuk golongan wanita.

"Ada yang datang dari jauh kerana sukar mendapatkan tandas awam di sekitar kawasan ini. Mencari bilik air bersih di tempat awam bukan perkara mudah ketika waktu kecemasan. Kami cuba mengubah perkara itu," kata Adhav lagi.

Beberapa pakar berpendapat kekurangan bekalan air dan elektrik akan menjejaskan usaha India untuk membina jutaan tandas sebagai sebahagian daripada program 'India Bersih' yang dilancarkan Perdana Menteri, Narendra Modi.

Kerajaan negeri bergelut untuk mengekalkan perkhidmatan tandas awam yang biasanya tidak diselenggara dengan baik dan terlalu kotor malah hanya digunakan oleh golongan lelaki hingga mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan wanita.

Oktober lalu, Modi turut mengisytiharkan India sebagai sebuah negara bebas membuang air secara terbuka dan 600 juta penduduk akan diberikan akses tandas. - AFP