Karnival Amal Hari Penyayang kumpul dana beli bas, kerja amal

Pengurus Besar YSB, Misbah Abdul Hamid menunjukkan baju-T dan medal disediakan bersempena Karnival Amal Hari Penyayang ketika ditemui pemberita di Pejabat YSB,di sini, pada Khamis.
Pengurus Besar YSB, Misbah Abdul Hamid menunjukkan baju-T dan medal disediakan bersempena Karnival Amal Hari Penyayang ketika ditemui pemberita di Pejabat YSB,di sini, pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) bakal menganjurkan Karnival Amal Hari Penyayang bagi mengumpul dana untuk membeli sebuah bas pemeriksaan kesihatan.

Pengurus Besar YSB, Misbah Abdul Hamid berkata, usaha membeli bas baharu terbabit bagi menggantikan bas lama yang telah beroperasi selama hampir 11 tahun.

Misbah berkata, bas pemeriksaan kesihatan sedia ada digunakan ketika ini juga berisiko mengalami kerosakan dengan kos pembaikan yang agak tinggi.

"Sehubungan itu, Karnival Amal Hari Penyayang diadakan selama lima hari bermula 24 Ogos hingga 28 Ogos depan bertempat di pekarangan tapak ekspo Stadium Darul Aman sebagai salah satu acara tahunan untuk mendana kewangan bagi projek-projek dirancang dan dijalankan oleh YSB.

"Objektif utama penganjuran karnival pada tahun ini adalah untuk membeli sebuah bas pemeriksaan kesihatan baharu bagi menggantikan bas lama," katanya kepada pemberita pada sidang media di Pejabat YSB, di sini, pada Khamis.

Beliau memaklumkan, pihaknya menyasarkan kutipan dana sebanyak RM350,000 melalui Karnival Amal Hari Penyayang itu.

"Insya-ALLAH, kita telah menerima beberapa sumbangan dan juga penajaan untuk acara kita, jadi sasaran kutipan kita tahun RM350,000 dan semua yang kita perolehi itu memang untuk beli bas dan aktiviti lain," katanya.

Menurut Misbah, antara aktiviti diadakan termasuklah kempen kesihatan dan derma darah, jualan makanan, pertunjukan silat, pertandingan memanah serta ceramah agama Ustaz Abdullah Khairy dan Ustaz Haslin Bollywood.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, pelbagai pengisian menarik disediakan dengan dengan kerjasama Syarikat Dzia Perfect Design seperti persembahan kebudayaan dan artis, Malam Cinta Rasul serta Himpunan Belia Berselawat 2.0," katanya.

Beliau memaklumkan, dua acara kemuncak Hari Perasmian Karnival Amal Hari Penyayang iaitu Larian Bendang dan Kayuhan Amal akan berlangsung pada 25 Ogos nanti.

"Turut diadakan adalah pertandingan memancing dengan kerjasama Kolam Titi Mega yang bakal diadakan pada 3 September 2023 di Kolam Titi Mega, Titi Haji Idris, Jalan Datuk Kumbar," katanya.

Misbah menambah, penganjuran Karnival Amal Hari Penyayang pada tahun ini adalah penganjuran kali ke-21 selepas tiga tahun disebabkan pandemik Covid-19.

Beliau memberitahu, YSB berharap penganjuran karnival tahun ini akan mendapat sambutan menggalakkan demi membolehkan YSB terus membantu mereka memerlukan terutamanya di Kedah.

"Untuk tempoh lima hari ini, kita jangka pengunjung dalam 50,000 orang," katanya.

Misbah turut menjelaskan, YSB aktif melakukan kerja amal dan kebajikan melalui dana yang dikumpulkan sendiri dan sumbangan awam.